Barisan Nasional (BN) perlu menyelaraskan pendirian politik di peringkat negeri dan pusat menjelang PRU16 bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta jentera parti, kata Ahmad Maslan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, hala tuju yang jelas berhubung kerjasama politik yang bakal diterokai parti perlu diputuskan segera. Ini supaya tidak wujud percanggahan antara pentadbiran negeri dan persekutuan.
Elak kekeliruan rakyat dan jentera parti
“Kita tidak mahu orang keliru apabila di negeri kita tidak bersama, tetapi di pusat kita bersama. Di negeri ikut BN, di pusat ikut Pakatan Harapan (PH), mana boleh begitu. Saya kira kita perlu selaraskan,” katanya menurut Berita Harian.
Ahmad turut berharap kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) di peringkat bahagian dapat diperkukuh menerusi penganjuran program bersama, selaras pendekatan yang sudah dilaksanakan di tiga negeri.
Menurut beliau, keselarasan gabungan itu penting bagi memastikan pendirian parti kekal konsisten di semua peringkat.
“Apabila tiga negeri sudah bersama dengan PN, takkan di pusat kita nak bersama dengan PH pula,” katanya.
Persiapan bermula tahun keempat selepas PRU15
Ahmad yang juga ketua sekretariat War Room Umno berkata, parti itu perlu memulakan persiapan PRU16 seawal tahun keempat selepas PRU15, tanpa menunggu tarikh pilihan raya diumumkan.
Beliau berkata, purata tempoh antara satu pilihan raya dengan pilihan raya berikutnya ialah empat tahun empat bulan, berdasarkan 15 pilihan raya sebelum ini.
Menurutnya, tempoh itu menjadikan tahun keempat selepas PRU15 masa yang sesuai untuk Umno memperkemas persiapan menghadapi PRU16, memandangkan pilihan raya lalu berlangsung pada 19 November 2022.
“Apabila melepasi sahaja tahun keempat, bahagian perlu mula bekerja untuk menghadapi PRU16.
“Purata satu pilihan raya ke satu pilihan raya adalah empat tahun empat bulan, tetapi mungkin juga empat tahun satu bulan, dua bulan, tiga bulan atau sehingga enam bulan. Itu terpulang, namun apabila melepasi empat tahun, ia sudah menjadi tahun persiapan,” katanya.
Perkukuh jentera dan dekati pengundi
Ahmad berkata, persiapan itu merangkumi usaha memperkukuh jentera pilihan raya, mendekati pengundi serta menggerakkan portfolio penerangan bagi menangani pelbagai isu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.