Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu sama-sama berjiwa besar dalam membina kerjasama politik, khususnya bagi menghadapi PRU16, kata Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pengerusi PN itu berkata, sebarang rundingan antara kedua-dua gabungan mesti berasaskan prinsip kesetaraan, saling menghormati dan mengambil kira kepentingan bersama, bukan sekadar memenuhi kehendak sebelah pihak.
“Jangan minta kita sahaja dalam Perikatan Nasional untuk berjiwa besar.
“Pihak satu lagi pun perlulah berjiwa besar,” katanya pada Sambutan 70 Tahun PAS Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0), malam tadi.
Intipati ucapannya dikongsi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Pendirian BN dan PAS berbeza
Kenyataan Samsuri itu menyusul kejayaan kerjasama BN-PN pada PRN Melaka Sabtu lalu, apabila kedua-dua gabungan menguasai 24 daripada 28 DUN. BN memenangi 21 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi.
Susulan kemenangan itu, Pengerusi BN Zahid Hamidi menyifatkan PN sebagai “rakan strategik baharu”. Namun, sehari kemudian beliau menegaskan BN belum merancang untuk memperluaskan kerjasama berkenaan ke PRU16.
Zahid berkata, perbincangan mengenai kerjasama itu akan diadakan apabila tiba masanya.
Pendirian itu berbeza dengan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang mahu kedua-dua gabungan segera memulakan rundingan, khususnya membabitkan pembahagian kerusi dan strategi menghadapi PRU16.
Tiada istilah ‘abang long’
Samsuri berkata, pengalaman kerjasama politik di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan pentingnya semua pihak berlapang dada dalam membina muafakat.
Beliau menegaskan tiada istilah “abang long” dalam rundingan politik kerana semua pihak perlu duduk sebagai rakan setara.
“Tidak ada abang long. Awal-awal lagi saya pernah sebut kepada rakan-rakan yang kita runding, tidak ada istilah abang long dalam perbincangan dan perundingan.
“Barulah kita duduk sebagai rakan yang setara untuk berbincang,” katanya.
Samsuri turut mengingatkan bahawa prinsip dan peraturan rundingan perlu konsisten serta tidak boleh diubah mengikut kepentingan pihak tertentu.
Elak pertembungan sesama sendiri
Menurut beliau, kegagalan mencapai muafakat boleh membawa mudarat politik yang lebih besar, terutama jika berlaku pertembungan sesama sendiri pada PRU16.
Beliau berkata, penyelarasan kerusi dan kerjasama politik yang lebih tersusun berpotensi meningkatkan peluang memenangi kerusi yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP.
Samsuri turut berpandangan bahawa sejumlah kerusi Parlimen juga berpotensi dimenangi semula sekiranya pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya mengetepikan kepentingan peribadi serta kedudukan masing-masing demi mencapai matlamat politik bersama.
“Kerana menjadi calon di mana-mana kerusi bukan menjadi objektif menyertai parti politik,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.