Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim menegaskan beliau akan memastikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga tidak akan menyokong atau memudahkan sebarang usaha untuk mempertikaikan kedudukan baginda. Ini termasuk tidak mengiktiraf mana-mana individu lain, atau menghidupkan semula proklamasi 19 April 2026 mahupun mana-mana dokumen yang berkaitan.
“Saya menegaskan tanpa berbelah bahagi bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
“Saya tidak akan melakukan dan tidak akan membenarkan dilakukan oleh mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri, jabatan, agensi atau pegawai kerajaan negeri apa-apa perbuatan yang mengurangkan, merampas, mengetepikan atau menjejaskan kedaulatan, jawatan, prerogatif, kuasa, hak atau keistimewaan baginda,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.
Proklamasi pemecatan tidak sah
Justeru, Ismail berkata proklamasi pemecatan baginda yang dikeluarkan pada 19 April lalu tidak sah, tidak mempunyai apa-apa kesan dan tidak akan diwartakan.
Beliau menjelaskan bahawa kenyataan itu dibuat tanpa sebarang paksaan, ugutan atau pengaruh yang tidak wajar. Sebaliknya, ia dibuat atas kesedaran bahawa beliau telah khilaf dalam memimpin kerajaan negeri sebelum ini.
Ulangi sumpah taat setia
Ismail turut mengulangi sumpah taat setia yang dilafazkan bersaksikan al-Quran, iaitu untuk menghormati dan mengikrarkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta institusi diraja.
Menurut beliau, sumpah itu juga merangkumi komitmen melindungi dan memelihara kedaulatan perlembagaan negeri, selain mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
“Saya menurunkan tandatangan saya pada aku janji ini dengan memahami sepenuhnya kandungan aku janji ini dan kesannya,” katanya.
Aku janji kepada kerajaan negeri
Tambah Ismail, beliau akan memastikan semua anggota kerajaan Negeri Sembilan terus menghormati dan taat setia kepada Tuanku Muhriz serta seluruh institusi diraja dan DKU. Mereka juga akan melindungi dan memelihara kedaulatan perlembagaan negeri.
“Sekiranya saya atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar mana-mana bahagian dan perenggan aku janji ini, saya berjanji akan menarik diri dan menyembah maklum surat peletakan jawatan dengan cara sempurna kepada Tuanku Muhriz bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.