Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Ismail Lasim meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai menteri besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau akan terus memberikan komitmen untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.
“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan menteri besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 Nov lepas, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi menteri besar, hari ini.
Menghadap Tuanku Muhriz
Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap pada 10.17 pagi ini untuk menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut yang melanda negeri ini.
Turut tiba di istana berkenaan ialah Undang Luak Rembau Hassan Ab Hamid, Undang Luak Sungai Ujong Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Azrin Khairi.
Kronologi peletakan jawatan
Isnin lalu, Ismail yang juga Adun Juasseh dilaporkan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Negeri Sembilan, selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos.
Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan bahawa peletakan jawatan menteri besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada hari yang sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut yang melanda negeri itu. Sesi menghadap berlangsung dari kira-kira 5 petang hingga 6.30 petang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.