
Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi, berkata latar belakang etnik dan sub-etnik di sesuatu kawasan menjadi antara kriteria utama dalam pemilihan calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Ahmad Zahid menjelaskan BN mengamalkan konsep “WALI” dalam memilih calon, iaitu calon yang Winnable (boleh menang), Acceptable (diterima) dan LIkeable (disukai).
Menurutnya, nama-nama calon yang dicadangkan oleh BN Sabah telah dikemukakan kepada beliau dan kini sedang dinilai berdasarkan kebolehmenangan serta kesesuaian mewakili kumpulan etnik dan sub-etnik di kawasan berkenaan.
“Kita mengambil kira kumpulan etnik dan sub-etnik yang akan diwakili oleh calon BN kerana selain lambang parti dan isu yang akan diketengahkan dalam manifesto, kita mengambil kriteria konsep WALI calon serta membuat kajian di lapangan berkenaan senarai itu,” katanya.
Beliau membuat kenyataan itu ketika hadir menutup Konvensyen 152 peringkat kebangsaan (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan) di Dewan Agung Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Mengulas persiapan BN menghadapi PRN17 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Ahmad Zahid berkata parti masih menunggu pengumuman tarikh rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal serta hari pengundian.
“Kita akan umumkan secara rasmi bilangan kerusi ditandingi pada hari penamaan calon nanti. Insya-Allah, ramai muka baharu dan tokoh muda akan diketengahkan, selain mengekalkan beberapa nama berprestasi tinggi pada pilihan raya lalu dan menterjemahkan perkhidmatan mereka di kawasan mereka,” katanya.