
Seorang penyanyi wanita, Winnie Kok atau lebih dikenali sebagai Winnie K, kerugian kira-kira RM380,000 selepas didakwa diperdaya oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai “Datuk”, yang menjanjikan jawatan duta eksklusif bagi sebuah projek hartanah mewah.
Winnie menceritakan bahawa perkenalan dengan lelaki itu berlaku pada September 2023 melalui seorang rakan karib yang juga bekerja sebagai artis dan pengacara. Menurutnya, lelaki tersebut menghubunginya melalui aplikasi WeChat dan menawarkan bayaran antara RM800,000 hingga RM1 juta untuk menjadi duta jenama eksklusif projek terbabit.
“Dia minta saya pindahkan wang sebagai ‘yuran pelaksana projek’. Saya bertanya rakan baik saya, dan atas tunjukannya saya telah mempercayai dan meneruskan bayaran,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Winnie berkata antara September dan Oktober 2023, beliau menyerahkan sejumlah kira-kira RM350,000 melalui pindahan dalam talian dan bayaran tunai. Jumlah pembayaran itu kemudiannya meningkat kepada sekitar RM380,000 selepas bayaran awal RM30,000. Selepas itu, lelaki berkenaan memberi alasan wang itu dipinjam sementara dan akan dikembalikan dalam masa dua hingga tiga hari, namun terus hilang selepas menerima keseluruhan wang tersebut.
“Saya buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Shah Alam pada Oktober 2023 dan sejak itu tidak pernah melihatnya lagi,” ujar Winnie, yang menambah bahawa kejadian itu memberi impak negatif dari segi emosi dan kesihatan mental kerana wang berkenaan adalah hasil usaha kerasnya dalam industri hiburan.
Mangsa berkata beliau tampil berkongsi pengalaman itu selepas dua tahun kerana pada awalnya tidak mahu keluarga mengetahui dan merasa malu. Winnie juga menyeru wanita lain yang menjadi mangsa penipuan seumpama itu untuk berani tampil mendapatkan keadilan.
Peguam mewakili mangsa, Esther Hor, serta Presiden Malaysian Association of Arts, Live Events, Concerts and Festivals (ALIFE), Alan Foo, turut hadir pada sidang media tersebut.
Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Michael Chong, berkata parti itu komited membantu mangsa penipuan yang berlaku melalui hubungan peribadi atau perniagaan, termasuk menyediakan bantuan guaman dan sokongan emosi. Michael menyatakan pihaknya sejak tahun lalu telah menerima beberapa aduan dengan modus operandi serupa, di mana mangsa — kebanyakannya wanita — ditipu oleh individu yang menyalahgunakan gelaran seperti “Datuk” untuk tujuan penipuan.
“Winnie K datang berjumpa kami dua kali untuk mendapatkan nasihat dan perlindungan. Berdasarkan siasatan awal pasukan guaman, jelas beliau dan beberapa mangsa lain telah diperdaya,” kata Michael.
Beliau turut menyeru semua mangsa agar tampil mendapatkan bantuan dan jangan menanggung beban secara sendirian. Michael menegaskan pendedahan kes ini bukan sahaja untuk mencari keadilan bagi mangsa tetapi juga sebagai peringatan kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya oleh individu yang menyalahgunakan gelaran dan kedudukan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.