
Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh memaklumkan peguamnya akan mengeluarkan surat tuntutan (LOD) minggu depan, susulan dakwaan terhadapnya dalam satu ceramah DAP berbahasa Cina yang tular semula menerusi satu hantaran pada Sabtu.
Beliau berkata, tindakan undang-undang itu akan diambil selepas mendakwa penceramah berkenaan menuduhnya menerima rasuah serta melabelnya sebagai seorang ekstremis.
Akmal sedia hadapi tuduhan di mahkamah
“Kamu tuduh aku rasuah, kamu tuduh aku ekstrem, tidak mengapa. Kita lawan di mahkamah.
“Jangan risau, minggu depan akan ada LOD daripada peguam saya. Kita jawab di mahkamah dan kita lawan di mahkamah,” katanya menerusi hantaran pada Sabtu.
Sebelum ini, Akmal memuat naik rakaman video yang memaparkan petikan ceramah seorang pemimpin DAP dalam bahasa Cina, yang didakwa mengaitkannya dengan tuduhan sebagai ekstremis, menerima rasuah serta menghina namanya.
Dakwaan turut sentuh nama pemimpin lain
Beliau turut mendakwa penceramah terbabit menyebut nama Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, dalam ceramah berkenaan.
Menurutnya, penceramah itu juga didakwa menyentuh mengenai keperluan mengekalkan pemimpin Melayu yang liberal, selain kebimbangan terhadap penyatuan orang Melayu.
Akmal berkata, perkara itu bercanggah dengan dakwaan bahawa kempen politik perlu dilakukan secara berhemah tanpa menghina mana-mana pihak.
“Mereka hina orang, hina nama orang dan sebarkan pelbagai fitnah.
“Mereka cakap tidak serupa bikin. Insya-Allah, kita jumpa di mahkamah nanti,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.