
Amanah tidak sehaluan dengan DAP dalam soal membentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Parti itu berpandangan gabungan Pakatan Harapan (PH) wajar mencari rakan sekutu untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, berkata partinya lebih cenderung bekerjasama dengan rakan politik yang dilihat ikhlas, berbanding bergerak secara bersendirian.
Menurut beliau, keikhlasan rakan kerjasama penting kerana ia menjadi asas kepada kestabilan sesebuah kerajaan.
“Pendirian Amanah adalah mencari rakan-rakan yang ikhlas untuk memerintah Melaka. Keikhlasan itu akan membentuk kestabilan dalam kerajaan.
“Tanpa keikhlasan, kerajaan tidak akan stabil, seperti yang berlaku di Negeri Sembilan apabila ‘gelombang biru’ bertukar kepada ‘haru-biru’,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan AgroMADANI serta Sesi Libat Urus bersama nelayan di Pangkalan Nelayan Tanjung Nibong, Telok Mas, di Melaka hari ini.
Mengulas kenyataan DAP Melaka
Muhammad Faiz mengulas kenyataan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, bahawa PH Melaka akan bergerak sendiri pada PRN Melaka. Menurut Poay Tiong, gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan BERSATU atau parti luar daripada gabungan berkenaan.
Poay Tiong, yang juga Timbalan Pengerusi PH Melaka, dilaporkan berkata PH akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN itu.
Bagaimanapun, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, pada 1 Oktober lalu berkata ruang rundingan dengan pelbagai pihak masih terbuka. Ini termasuk bagi membentuk kerjasama PH Plus. Keputusan akhir akan dibuat Majlis Presiden PH sebelum hari penamaan calon.
Amanah ada pandangan berbeza
Muhammad Faiz berkata, walaupun terdapat beberapa cadangan dalam kalangan parti komponen PH, Amanah mempunyai pandangan yang berbeza.
“Ada pandangan di peringkat PH yang tidak mahu bekerjasama dengan parti luar. Kita ambil kira pandangan itu, tetapi bagi Amanah, saya berpandangan lebih baik kita berpadu dengan rakan sekutu untuk mewujudkan kerajaan yang stabil di Melaka.
“Identiti parti yang berpotensi menjadi rakan kerjasama masih belum boleh didedahkan, namun pintu rundingan dengan pelbagai pihak kekal terbuka,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.