
Ketua pembangkang perlu diberi peranan dalam menentukan agenda persidangan Dewan Rakyat sebagai sebahagian usaha memperkukuh amalan perundingan dalam sistem demokrasi, kata Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Saifuddin Abdullah.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mengetengahkan perkara tersebut sebagai sebahagian inisiatif yang boleh dilaksanakan di pelbagai sistem, institusi, kepimpinan dan kerajaan.
Dalam tulisan di ruangan Merentas Ruang yang disiarkan Sinar Harian, bekas menteri luar itu berkata, kini masa yang sesuai untuk menjayakan perundingan dalam maksud yang tepat, iaitu syura, serta membangunkan dan memajukan aplikasinya dalam demokrasi.
Perkasa peranan di Dewan Rakyat
Saifuddin mencadangkan perundingan itu dilaksanakan antaranya di Dewan Rakyat, dengan meningkatkan perundingan jawatankuasa pilihan dalam penggubalan undang-undang.
“Dan peranan ketua pembangkang dalam menentukan agenda sidang,” katanya.
Jawatan ketua pembangkang kini disandang Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin, yang juga Ahli Parlimen Larut.
Dewan Negara perlu diperkasa
Beliau turut mencadangkan Dewan Negara diperkasa melalui proses perundingan dalam menentukan kriteria kelayakan dan pencalonan senator.
Selain itu, peranan dewan itu perlu ditingkatkan bagi menghapuskan imejnya sebagai ‘rubber stamp’.
Peringkat negeri dan PBT
Di peringkat negeri, Saifuddin berkata, lebih banyak Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mewujudkan jawatan ketua pembangkang dan jawatankuasa pilihan, selain menambah jumlah hari persidangan.
Bagi peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, beliau menggesa perundingan dalam menentukan kriteria kelayakan dan pencalonan ahli-ahlinya.
“Menjadikannya ‘Parlimen Peringkat Tempatan’ yang sebenar,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.