
Pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan memperlihatkan kempen berunsur perkauman yang luar biasa, dakwa Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Amirudin Shari malam tadi.
Beliau berkata kempen yang bersifatkan identiti kaum itu mampu menyemai unsur-unsur pemecahbelahan dalam kalangan masyarakat.
“Saya percaya ini akan menimbulkan dan terus mewujudkan kegelisahan serta perasaan syak wasangka dalam kalangan rakyat, terutamanya antara kaum Melayu dan kaum bukan Melayu,” dakwanya pada sidang media.
Amirudin berkata perkara itu merupakan hala tuju yang tidak membantu memajukan Negeri Sembilan, kerana isu-isu asas seperti ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat telah diabaikan sepanjang kempen PRN, terutama di pihak lawan.
Menjawab pertanyaan pemberita, Amirudin menyeru semua pemain politik membetulkan keadaan tersebut.
“Nampak sangat dichotomy di antara orang Melayu dan bukan Melayu dalam trend politik, dan ini harus dibetulkan pada masa depan kepada politik penyatuan rakyat,” dakwanya.
Akui kekalahan disebabkan retorik perkauman
Amirudin juga mengiyakan pertanyaan sama ada PH percaya kekalahannya disebabkan retorik perkauman, dan bukan kerana pengundi tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan persekutuan.
“Berdasarkan trend pengundian, itulah yang berlaku. Sekiranya anda tanya saya tentang prestasi Aminuddin Harun, menteri besar penggal lalu, dan kerajaan Negeri Sembilan, prestasi kita cemerlang dari segi pelaburan dan reformasi yang telah kita lakukan, dan juga khidmat kita kepada rakyat,” katanya.
Amirudin turut menyangkal persoalan mengenai penolakan terhadap PH dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
“Nisbah pengundi bukan Melayu untuk PH masih meyakinkan,” katanya.
PH mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018. Barisan Nasional dan Perikatan Nasional malam tadi mengumumkan mereka menang PRN Negeri Sembilan.
Menurut Amirudin, PH memenangi 11 kerusi berdasarkan kiraan undi tidak rasmi, iaitu sembilan bagi DAP dan dua bagi PKR.
Semua calon bakal turun padang
Dalam pada itu, Amirudin mengumumkan semua 36 calon PH akan turun padang untuk bertemu pengundi di kawasan masing-masing, sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan amanah yang diberikan.
“Khidmat kepada rakyat diteruskan dan mendahulukan politik nilai, prestasi, dan perkhidmatan sebaik mungkin,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.