
Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengecam serangan menggunakan jarum suntikan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Putrajaya, menyifatkannya sebagai “tindakan jahat dan khianat” serta mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, memastikan siasatan telus dan segera.
Anwar berkata, ketika negara masih berdepan isu buli di sekolah, kejadian ini amat dikesali. Beliau turut mendoakan kesejahteraan Rafizi dan keluarganya.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, dalam kenyataan berasingan melahirkan rasa terkejut dan sedih terhadap serangan itu. Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi mangsa dalam apa jua keadaan, menyifatkan tindakan tersebut sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pelaku, serta memastikan keselamatan semua rakyat, khususnya kanak-kanak.
Selain Fuziah Salleh, jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, turut mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kejutan dan mengutuk tindakan serangan tersebut.
Kejadian berlaku sekitar jam 1.45 tengah hari ini ketika isteri dan anak Rafizi sedang masuk ke kereta untuk meninggalkan pusat membeli-belah di Putrajaya. Dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi keledar muka penuh menghampiri, salah seorang menarik serta mencucuk anak beliau dengan jarum suntikan. Mangsa dibawa ke Hospital UPM untuk rawatan dan polis kini menjalankan siasatan.
Rafizi percaya serangan ini adalah amaran terhadap pendiriannya dalam beberapa isu tertentu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.