
Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini mendedahkan bahawa keluarganya menjadi sasaran serangan terancang di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya, apabila anak lelakinya dicucuk dengan jarum suntikan oleh dua lelaki berpakaian serba hitam.
Menurut Rafizi, kejadian berlaku sekitar jam 1.45 tengah hari ketika isteri dan anaknya sedang memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli-belah berkenaan. Salah seorang lelaki tiba-tiba mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
Siasatan awal mendapati dua lelaki bermotosikal telah mengekori kereta isterinya dan dipercayai menunggu masa yang sesuai untuk menyerang. Kedua-duanya berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar muka penuh yang menutup sepenuhnya wajah mereka.
Anaknya telah dibawa ke Hospital UPM untuk rawatan segera. Polis tiba sejurus selepas kejadian dan telah mengambil keterangan daripada keluarga.
Rafizi merakamkan penghargaan kepada pihak polis dan Hospital UPM atas bantuan pantas, sambil menyatakan bahawa ini adalah kali pertama keluarganya menjadi sasaran sepanjang beliau bergiat dalam politik. Beliau percaya serangan ini adalah amaran terhadap pendiriannya dalam beberapa isu tertentu.
“Saya akan mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan, namun tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.