
Lee Chean Chung sudah kira-kira setahun tidak aktif dalam PKR, termasuk tidak menghadiri mesyuarat dan kongres parti, kata Anwar Ibrahim.
“Dia dah lama, setahun dia tak pernah campur soal urusan parti. Mesyuarat-mesyuarat parti tak pernah hadir, kongres pun tak hadir,” kata perdana menteri itu ketika ditemui di Kuarters TUDM Sungai Besi hari ini.
Anwar, yang juga presiden PKR, berkata jika Lee sudah tidak berminat dengan PKR, beliau boleh meninggalkan parti dengan baik.
“Kalau dah tak minat, tak ada masalah. Pergi dengan baik. Terima kasih atas sumbangan selama ini,” katanya.
Dakwaan Lee mengenai peruntukan kawasan
Terdahulu, Lee mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta, dua hari selepas keahliannya dalam PKR digantung selama tiga tahun.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima surat penggantungan pada 30 September. Lee juga mendakwa akses kepada peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya disekat, dan pengurusan dana itu diambil alih wakil parti.
Selain itu, Lee mempersoalkan hala tuju kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, termasuk isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, reformasi institusi dan beberapa kes berprofil tinggi.
Mengenai dakwaan peruntukan kawasan terjejas, Anwar berkata projek di Petaling Jaya tetap berjalan tanpa bergantung kepada kedudukan Ahli Parlimen.
“Peruntukan kawasan tak terjejas. Sekolah, surau, masjid, kuil, jalan, apa-apa itu kita telah pastikan projek berjalan,” katanya.
Tindakan undang-undang diserahkan kepada parti
Ditanya mengenai kemungkinan PKR mengambil tindakan undang-undang terhadap Lee, Anwar menyerahkan perkara itu kepada setiausaha agung dan jawatankuasa perundangan parti.
Pada Jun lalu, Lee meletakkan jawatan daripada Majlis Pimpinan Pusat PKR. Namun, beliau berkata ketika itu bahawa beliau kekal sebagai ahli parti dan akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Petaling Jaya sehingga Parlimen dibubarkan.
Kini, Lee antara Ahli Parlimen PKR yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat, selepas Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.