
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menggesa kepimpinan parti itu memberi tumpuan kepada usaha mencapai kerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, susulan penggantungan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, kepimpinan PAS Pusat perlu meneruskan rundingan dengan Umno bagi membentuk kerjasama. Kedua-dua parti juga perlu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan perpecahan.
Menurut Hashim, kejayaan membentuk kerjasama PAS-Umno dalam PRN Melaka akan menjadi langkah penting untuk mengembangkannya ke PRU16.
Tunggu dan lihat soal penggantungan PN
Hashim berkata, kerjasama PAS-Umno perlu disuburkan sekarang.
“Sekarang adalah masa terbaik perpaduan PAS dan UMNO serta suburkan kerjasama tersebut.
“Pada masa ini, berkaitan penggantungan PN, tunggu dan lihat dengan fokus ketika ini, kerjasama atau penyatuan antara PAS dan UMNO.
“Kepemimpinan perlu utamakan kepentingan ummah bukan peribadi dalam merealisasikan penyatuan ini. Kerjasama Pas dan Umno memberi manfaat kepada seluruh masyarakat khususnya orang Melayu di negara ini,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Ketepikan ego dalam rundingan kerusi
Hashim, yang mempengerusikan Majlis Syura PAS, berkata pemimpin kedua-dua pihak perlu mengetepikan ego masing-masing, khususnya dalam rundingan pembahagian kerusi.
BN masih buka pintu kepada PN dan PH
Barisan Nasional (BN) dijangka mengadakan rundingan dengan bakal rakan kerjasama minggu depan.
Gabungan yang diterajui Umno itu masih membuka pintu kepada PN dan Pakatan Harapan, walaupun Pengerusi BN, Zahid Hamidi, sebelum ini menyatakan hasrat gabungan pemerintah negeri itu untuk bekerjasama dengan PN dalam PRN Melaka.
Zahid berkata demikian selepas kerjasama BN-PN memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.