
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei telah mengeluarkan arahan bahawa stok uranium yang diperkaya hampir ke tahap senjata tidak boleh dihantar ke luar negara, sekali gus meneguhkan pendirian Tehran terhadap salah satu tuntutan utama Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan damai yang sedang berlangsung.
Arahan itu berpotensi menambah tekanan terhadap Presiden AS, Donald Trump, dan merumitkan usaha rundingan bagi menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran.
Tuntutan Israel dan AS
Pegawai Israel memberitahu Reuters bahawa Trump telah memberi jaminan kepada Israel bahawa stok uranium Iran yang diperkaya tinggi, yang diperlukan bagi menghasilkan senjata atom, akan dihantar keluar dari Iran, dan mana-mana perjanjian damai mesti mengandungi klausa mengenai perkara tersebut.
Israel, AS dan negara Barat lain sejak lama menuduh Iran cuba membangunkan senjata nuklear, merujuk kepada langkah Tehran memperkaya uranium sehingga 60 peratus, jauh melebihi keperluan penggunaan awam dan semakin hampir kepada tahap 90 peratus yang diperlukan bagi menghasilkan senjata.
Iran menafikan dakwaan itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau tidak akan menganggap perang sebagai berakhir sehingga uranium yang diperkaya dikeluarkan dari Iran, Tehran menghentikan sokongan kepada milisi proksi, dan keupayaan peluru berpandu balistiknya dihapuskan.
Pendirian Iran Tidak Berubah
“Arahan Pemimpin Tertinggi dan konsensus dalam kepimpinan negara ialah stok uranium yang diperkaya tidak seharusnya meninggalkan negara,” kata salah seorang daripada dua sumber kanan Iran yang enggan dikenali, atas alasan sensitiviti isu berkenaan.
Menurut sumber tersebut, pegawai tertinggi Iran percaya penghantaran bahan itu ke luar negara akan menjadikan Iran lebih terdedah kepada serangan masa depan oleh AS dan Israel.
Khamenei mempunyai kata putus dalam perkara-perkara penting negara, manakala Rumah Putih dan Kementerian Luar Iran tidak memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan komen.
Gencatan senjata yang rapuh kini berkuat kuasa dalam perang yang bermula dengan serangan AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari. Selepas itu, Iran melancarkan serangan terhadap negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS, dan pertempuran tercetus antara Israel dengan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan.
Namun, tiada kemajuan besar dicapai dalam usaha damai, dengan sekatan AS terhadap pelabuhan Iran serta kawalan Tehran ke atas Selat Hormuz, iaitu laluan penting bekalan minyak global, terus merumitkan rundingan yang dimediasi Pakistan.
Dua sumber kanan Iran itu turut mendedahkan bahawa terdapat kecurigaan mendalam di kalangan pihak Tehran bahawa jeda peperangan itu hanyalah helah taktikal Washington untuk mewujudkan rasa selamat sebelum melancarkan semula serangan udara.
Perunding damai utama Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, berkata pada Rabu bahawa “langkah terang-terangan dan tersembunyi musuh” menunjukkan AS sedang bersiap untuk melancarkan serangan baharu.
Trump pula berkata AS bersedia meneruskan serangan lanjut ke atas Tehran jika Iran tidak bersetuju dengan perjanjian damai, namun membayangkan bahawa Washington mungkin menunggu beberapa hari lagi untuk mendapat jawapan yang tepat.
Formula Penyelesaian Masih Dikaji
Menurut sumber, kedua-dua pihak mula mengecilkan beberapa jurang perbezaan, namun perpecahan lebih besar masih wujud berhubung program nuklear Tehran, termasuk nasib stok uranium yang diperkaya dan tuntutan Iran supaya haknya untuk memperkaya uranium diiktiraf.
Pegawai Iran berulang kali menegaskan bahawa keutamaan Tehran ialah mendapatkan penamatan perang secara kekal dan jaminan yang boleh dipercayai bahawa AS dan Israel tidak akan melancarkan serangan baharu. Mereka berkata hanya selepas jaminan itu diberikan, Iran bersedia menyertai rundingan terperinci mengenai program nuklearnya.
Sebelum perang, Iran memberi isyarat bersedia menghantar keluar separuh daripada stok uranium yang diperkaya hingga 60 peratus. Namun, pendirian itu berubah selepas ancaman berulang Trump untuk menyerang Iran.
Pegawai Israel memberitahu Reuters bahawa masih belum jelas sama ada Trump akan memutuskan untuk menyerang, dan sama ada beliau akan memberi lampu hijau kepada Israel untuk menyambung semula operasi ketenteraan.
Walaupun begitu, sumber berkenaan menyebut terdapat “formula yang boleh dilaksanakan” untuk menyelesaikan isu tersebut, termasuk cadangan mencairkan stok uranium di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
IAEA menganggarkan Iran memiliki 440.9 kilogram uranium yang diperkaya hingga 60 peratus ketika Israel dan AS menyerang kemudahan nuklear Iran pada Jun 2025. Jumlah yang masih terselamat bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Ketua IAEA, Rafael Grossi, berkata pada Mac lalu bahawa baki stok itu “kebanyakannya” disimpan di kompleks terowong di kemudahan nuklear Isfahan, dengan agensinya percaya sedikit lebih 200 kilogram masih berada di situ. Sebahagian lagi dipercayai disimpan di kompleks nuklear besar di Natanz, lokasi dua loji pengayaan uranium Iran.
Iran berkata sebahagian uranium yang diperkaya tinggi itu diperlukan untuk tujuan perubatan dan reaktor penyelidikan di Tehran yang beroperasi menggunakan uranium diperkaya sekitar 20 peratus. – REUTERS
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.