
Presiden PAS, Hadi Awang, didakwa tidak mempunyai hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). Ini kata Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, yang membalas kenyataan Hadi baru-baru ini.
Azmin menyifatkan dakwaan Hadi bahawa keanggotaan Bersatu dalam PN tergugur dengan sendirinya sebagai satu tindakan yang semberono. Malah, katanya, kenyataan itu jelas bercanggah dengan perlembagaan gabungan tersebut.
Tiada peruntukan keanggotaan tergugur automatik
Menurut Azmin, tiada mana-mana fasal dalam perlembagaan PN yang membenarkan keanggotaan sesebuah parti anggota tergugur secara automatik begitu saja.
Sebaliknya, beliau menegaskan kedudukan Bersatu dalam gabungan itu hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden, selaras dengan Fasal 7A Perlembagaan PN.
“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam PN. Justeru, Bersatu masih parti anggota PN yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Hadi mendakwa Bersatu secara automatik terkeluar daripada PN tanpa perlu ada sebarang surat rasmi atau keputusan jawatankuasa, susulan pengumuman parti itu menubuhkan gabungan politik baharu.
Hadi berhujah, tindakan menyertai atau menubuhkan blok politik lain dengan sendirinya menamatkan keahlian sesebuah parti dalam gabungan asal, berdasarkan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan PN.
Menjawab dakwaan itu, Azmin berkata kenyataan Hadi sebenarnya mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Marang itu tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN.
Dakwaan halang wakil Bersatu hadir mesyuarat
Azmin turut mendakwa, pengerusi dan setiausaha agung PN telah menghalang wakil Bersatu daripada menghadiri mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu pada 16 Julai lalu.
Mesyuarat berkenaan, katanya, membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi serta kerjasama dengan Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan. Beliau mendakwa keputusan itu bercanggah dengan Fasal 7 perlembagaan gabungan kerana wakil Bersatu tidak dibenarkan turut sama.
“Bersatu akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia berhubung pelanggaran perlembagaan yang serius ini,” katanya.
Azmin turut mendakwa PN yang kini dikuasai PAS tidak lagi menjunjung perlembagaan gabungan itu sendiri. Beliau berkata gabungan itu turut mengetepikan prinsip tadbir urus yang baik, sebaliknya bertindak secara semberono dan tidak demokratik.
Beliau menegaskan Bersatu akan terus bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan prinsip keadilan serta kesederhanaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.