
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, mengesahkan wakil rakyat PKR, Wong Chen, ada menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang.
Perkara itu disahkan Johari ketika dihubungi BH. Hasrat berkenaan, katanya, dinyatakan ketika pertemuan beliau bersama Ahli Parlimen Subang itu kelmarin.
“Beliau bercadang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan menyatakan alasan atas cadangannya itu,” katanya ringkas.
Johari bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Chen ada menyerahkan apa-apa surat berkait perletakan jawatan itu, sepertimana maklumat yang tular di media sosial. Beliau juga tidak mendedahkan sebab di sebalik hasrat Ahli Parlimen Subang itu.
Desas-desus mula tular di media sosial
Terdahulu, desas-desus mengenai perletakan jawatan Chen mula berlegar selepas beliau memuat naik kepala surat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang yang dialamatkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat lanjut dinyatakan pada masa itu. Chen, yang sudah tiga penggal mempertahankan kerusi Parlimen Subang, cuma memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan akhbar pada Isnin ini, berhubung surat dan pertemuannya dengan Johari.
“Pagi ini (semalam) saya mengadakan pertemuan panjang dengan Johari. Kami sepatutnya bertemu selama 30 minit, tetapi akhirnya berbincang hingga sejam setengah.
“Apa yang penting saya sudah menyerahkan surat saya kepadanya dan akan mengeluarkan kenyataan media, Isnin ini,” katanya.
Pernah dikaitkan dengan gerakan BERSAMA
Chen sebelum ini dilaporkan antara Ahli Parlimen yang hadir pada program pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, ketika mengumumkan pengambilalihan parti BERSAMA pada Mei lalu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.