
Pemimpin Bersama, Lee Chean Chung, menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pengumuman menteri pengangkutan bahawa pemandu teksi Melaka akan menerima bantuan RM1,000 seorang menjelang PRN.
Dalam satu kenyataan, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu mempersoalkan mengapa bantuan tersebut hanya dihadkan kepada pemandu teksi di negeri berkenaan dan tidak diperluaskan ke seluruh negara.
Lee turut tidak berpuas hati kerana pengumuman itu dibuat dalam satu ceramah Pakatan Harapan (PH), bukan melalui saluran rasmi kementerian. Beliau menyifatkannya sebagai pemberian “wang secara terang-terangan” menjelang pilihan raya.
Imej antirasuah DAP dipersoal
“Perjuangan menentang rasuah selama ini merupakan antara asas utama DAP dalam mengkritik amalan pemberian habuan menjelang pilihan raya oleh Barisan Nasional (BN) sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
“Prinsip yang sering ditekankan ialah sumber kerajaan dan kepentingan parti politik mesti dipisahkan dengan jelas.
“Namun hari ini, garis pemisah tersebut seolah-olah dipadamkan sendiri oleh Setiausaha Agung DAP (Loke Siew Fook). Imej antirasuah dan kedudukan moral yang tinggi yang dibina DAP selama puluhan tahun kini musnah dalam sekelip mata,” katanya.
Lee berkata, walaupun tindakan itu tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pengumuman Loke menimbulkan kebimbangan berhubung pemisahan antara sumber kerajaan dan kepentingan parti menjelang PRN Melaka pada 14 Nov.
Tuntut dedah aliran dana RM91 juta
Lee menuntut Loke mendedahkan aliran penuh dana RM91 juta yang diraih hasil bidaan nombor pendaftaran kenderaan, termasuk dokumen kelulusan dan penggunaan dana berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan akaun mana yang memegang hasil itu pada masa ini, sama ada wang tersebut telah dipindahkan ke Perbendaharaan, dan peruntukan mana yang digunakan bagi membiayai pembayaran itu.
Menurut Lee, hasil daripada bidaan nombor pendaftaran kenderaan adalah hak awam dan sepatutnya disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan mengikut prosedur, sebelum dibelanjakan melalui peruntukan yang diluluskan Parlimen.
Penjelasan Loke
Loke mengumumkan bantuan RM1,000 itu semasa majlis pengumuman calon PH di Melaka pada Sabtu lalu, sambil menyatakan pembayaran akan dibuat hari ini.
Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sebahagian usaha kerajaan persekutuan menyalurkan hasil awam dalam program yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia serta meringankan beban kos sara hidup.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.