
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, mempersoalkan tindakan polis yang didakwa mengamalkan layanan dua darjat berhubung dua kes membabitkan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik, satu di Johor dan satu lagi di Terengganu.
Menurut Lim, seorang pengawal keselamatan warga Nepal serta seorang wanita tempatan telah ditahan dan direman berikutan kes pemasangan Jalur Gemilang serta bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang di Indahpura, Kulai.
Berbeza pula dengan insiden di Dataran Batu Buruk, di mana Jalur Gemilang turut dikibarkan tanpa bulan dan bintang di bawah tanggungjawab Majlis Bandaraya Kuala Terengganu atau MBKT. Dalam kes ini, tiada sebarang tangkapan dibuat, dan ia dikatakan berlaku akibat kesilapan teknikal semata-mata.
Individu direman empat hari, diuji air kencing
Lim menjelaskan, kedua-dua individu yang terbabit di Kulai ditahan dan direman selama empat hari untuk membantu siasatan. Bendera serta jadual kerja mereka turut dirampas ketika itu.
Yang lebih mengejutkan, kedua-duanya turut diuji air kencing walaupun perkara itu langsung tidak berkaitan dengan kes yang disiasat. Malah, mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian dadah yang dijalankan juga didapati negatif.
“Setakat maklumat yang diumumkan, tiada bukti bahawa mereka sengaja menghina bendera atau menyebarkan gambar tersebut. Namun, polis menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, situasi ini sekali gus menimbulkan persoalan sama ada rakyat biasa dikenakan tindakan yang jauh lebih keras berbanding agensi kerajaan, apabila berlaku kesilapan yang sama-sama melibatkan Jalur Gemilang.
Desak Ketua Polis Negara beri penjelasan
Lim turut mengarahkan tekanan kepada Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, supaya tampil menjawab isu ini dengan fakta dan undang-undang, bukan sekadar alasan kosong.
“Polis tidak boleh bertindak keras terhadap rakyat biasa tetapi senyap apabila kecuaian melibatkan pihak berkuasa,” tegasnya.
Malah, kata Lim, sekiranya Ketua Polis Negara gagal memberikan penjelasan yang masuk akal, beliau wajar meletakkan jawatan. Ini kerana, jika kes semudah kesilapan memasang bendera pun tidak mampu ditangani dengan adil dan waras, persoalannya bagaimana pula beliau mahu memimpin pasukan polis menghadapi kes-kes yang jauh lebih rumit seperti pembunuhan, rasuah, sindiket dan jenayah siber.
Sebelum ini dilaporkan, pengawal keselamatan dan wanita tempatan yang terbabit dalam kes kilang di Indahpura itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, sebelum ini menjelaskan bahawa lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 48 tahun itu ditahan pada 10.45 pagi Isnin lalu, susulan gambar bendera terbalik berkenaan yang tular di media sosial.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.