
Rafizi Ramli mendakwa Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian selepas lima hari dilancarkan.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hampir separuh daripada jumlah berkenaan, iaitu 46 peratus, terdiri daripada individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.
Menurutnya, golongan itu merupakan pengundi atas pagar yang selama ini tidak mempunyai kecenderungan untuk menjadi ahli mana-mana parti walaupun aktif mengundi.
“Hampir separuh. Pengundi atas pagar yang selama ini tidak ‘berumah’. Mengundi, tetapi tidak pernah rasa mahu menjadi ahli mana-mana parti. Sekarang mereka datang menyertai BERSAMA,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Sokongan datang daripada pelbagai parti
Rafizi berkata, sebahagian lagi permohonan diterima daripada ahli atau penyokong beberapa parti politik lain.
Katanya, 29 peratus daripada permohonan itu datang daripada PKR, diikuti UMNO, PAS, AMANAH, BERSATU dan MUDA.
“Semua parti Melayu ada. Maknanya, ada segmen dalam setiap parti yang sudah lama kecewa dan sedang mencari rumah baharu,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengesahkan mengambil alih Parti Bersama Malaysia atau BERSAMA.
Penyerahan simbolik parti itu dibuat semasa majlis pengumuman hala tuju politik kedua-dua pemimpin berkenaan pada 17 Mei lalu.
Tolak dakwaan pecah undi
Dalam pada itu, Rafizi menolak dakwaan bahawa langkah beliau dan Nik Nazmi mengambil alih BERSAMA akan menyebabkan perpecahan undi.
Menurutnya, data yang diterima setakat ini menunjukkan sokongan datang daripada pelbagai latar belakang pengundi yang sebelum ini tidak mempunyai tempat dalam mana-mana parti politik.
“Serangan kononnya ‘pecah undi’ nampaknya tidak terpakai berdasarkan data ini, kerana sokongan datang daripada pengundi pelbagai latar yang selama ini tidak mempunyai tempat,” katanya.
Rafizi turut berkongsi pecahan demografi permohonan keahlian yang diterima selepas lima hari pelancaran parti itu.
Menurut beliau, Melayu membentuk 62 peratus daripada jumlah permohonan, diikuti Cina sebanyak 15 peratus, India 14 peratus dan Bumiputera Sabah serta Sarawak sebanyak tujuh peratus.
Katanya, komposisi itu lebih mencerminkan demografi rakyat Malaysia dan beliau menjangkakan jumlah permohonan keahlian BERSAMA akan melepasi 20,000 sebelum penghujung minggu pertama.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.