
Pemuda Bersatu menafikan enam Ahli Parlimen parti itu yang menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan telah menggadaikan peranan pembangkang sebagai semak dan imbang.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid, berkata CSA bukan perkongsian kuasa eksekutif atau penyertaan dalam Kabinet. Sebaliknya, perjanjian itu membolehkan sokongan diberikan terhadap dasar tertentu demi kepentingan rakyat dan kestabilan kerajaan.
Beliau menegaskan, naratif yang mendakwa Ahli Parlimen Bersatu ‘melutut’ atau kehilangan fungsi semak dan imbang adalah tohmahan yang tersasar daripada realiti perlembagaan dokumen itu.
“Armada (Pemuda Bersatu) tegaskan CSA adalah manifesto berprinsip, Bersatu kekal sebagai blok semak dan imbang tulen.
“Rangka kerja CSA ini telah memperincikan dengan sangat jelas bahawa Bersatu kekal teguh sebagai blok pembangkang yang bebas di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Rundingan buntu, CSA jadi jalan keluar
Harris berkata, rundingan rasmi yang dimulakan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersama Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, sebelum ini menemui jalan buntu tanpa keputusan konklusif.
Katanya, pemeteraian CSA itu bertujuan menyelesaikan kebuntuan berhubung peruntukan kawasan. Ia juga bagi memastikan kebajikan rakyat di kawasan yang diwakili Ahli Parlimen terbabit tidak terus terjejas.
Beliau menegaskan, langkah itu bukan untuk mendapatkan jawatan, sebaliknya memastikan peruntukan rakyat disalurkan secara adil selain memperjuangkan dua tuntutan reformasi institusi.
Dua tuntutan itu ialah mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri serta memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Harris berkata, Bersatu juga akan terus mempertahankan agenda pemerkasaan Bumiputera di Parlimen sebagai blok bukan kerajaan.
Susulan bidasan Wan Fayhsal
Kenyataan itu menyusul Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang membidas wakil rakyat pembangkang yang menandatangani CSA. Beliau mendakwa perjanjian itu menjejaskan kebebasan mereka untuk menyemak dan mengimbangi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Enam Ahli Parlimen Bersatu bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menandatangani CSA itu semalam.
Mereka ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin (Pagoh), Radzi Jidin (Putrajaya), Ali Biju (Saratok), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Azman Nasrudin (Padang Serai).
Sokong kerajaan hingga tamat penggal
Di bawah perjanjian itu, Ahli Parlimen terbabit akan menyokong kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk dalam pengundian Belanjawan 2027.
Sebagai balasan, tuntutan mereka merangkumi had tempoh jawatan perdana menteri, pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya serta peruntukan pembangunan kawasan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.