
Ketua Penerangan Bersatu, Faisal Ismail Aziz, berkata beliau faham mengapa bekas penyandang jawatan itu, Razali Idris, mengkritik cara beliau menjalankan tugas selama ini.
Menurutnya, kritikan Razali yang juga Adun Kijal itu mungkin ada kaitan dengan pendiriannya yang sejak akhir-akhir ini agak lantang menegur dan mengkritik tindakan PAS.
“(Beliau) exco kerajaan negeri PAS dan ketika ini saya banyak menegur dan mengkritik PAS atas tindakan-tindakan PAS yang melanggar Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) dan menafikan hak Bersatu sebagai anggota PN,” katanya kepada FMT.
Razali: Jawatan bukan lesen untuk bercakap sebanyak mungkin
Terdahulu, Razali menegaskan jawatan ketua penerangan Bersatu yang disandang Faisal bukanlah lesen untuk bercakap sebanyak mungkin, apatah lagi “menggasak” semua orang di media sosial.
Baginya, tugas utama penyandang jawatan itu ialah menerangkan dasar parti, mempertahankan parti, menyatukan pimpinan serta membaca denyut nadi rakyat.
Beliau turut mengimbas kembali era beliau memegang jawatan tersebut, di mana bersama pimpinan, jentera dan rakan-rakan komponen PN, mereka berjaya melalui pilihan raya dengan pencapaian 31 Ahli Parlimen dan 66 Adun.
“Itu sejarah. Tetapi sejarah juga mengajar kita satu perkara kerana politik yang matang membina kekuatan, politik yang gelojoh membakar jambatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Razali turut menyuarakan kerisauannya terhadap terlalu banyak kenyataan yang pada pandangannya tidak perlu dikeluarkan.
“Hari ini, terlalu banyak kenyataan yang pada saya tidak perlu keluar. Tidak semua perkara perlu dijawab. Tidak semua kritikan perlu dilawan dan tidak semua perbezaan pandangan perlu dijadikan perang terbuka di media sosial,” ujarnya.
Beliau menambah, keadaan menjadi lebih malang apabila sesuatu kenyataan dibuat tanpa mengambil kira sentimen pimpinan dan akar umbi Bersatu di Pantai Timur.
“Kalau hendak jadi hero media sosial, silakan tetapi jangan sampai parti menjadi mangsa,” katanya.
Cadangan ganti ketua penerangan pernah dibangkitkan
Razali, yang baru sahaja meletak jawatan sebagai ketua Bersatu Terengganu, turut menyentuh soal keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan. Menurutnya, keputusan itu sepatutnya sudah cukup menjadi “wake-up call” buat gerakan parti tersebut.
Dalam satu mesyuarat Bersatu Terengganu sebelum ini, katanya, ahli jawatankuasa yang hadir ketika itu sebulat suara mencadangkan agar ketua penerangan diganti. Namun begitu, wakil Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang turut hadir dilaporkan tidak sampai hati membawa cadangan tersebut kepada pucuk pimpinan parti.
“Hari ini, saya ulang secara terbuka, kerana diam terlalu lama juga boleh menjadi satu bentuk kesilapan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Bersatu tidak akan bangkit semata-mata dengan ketua penerangan yang paling lantang bersuara.
“Bersatu tidak akan bangkit dengan ketua penerangan yang paling lantang. Jangan kerana mahu menang hujah di media sosial, kita kalah kepercayaan di bawah. Parti bukan pentas untuk ego individu,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.