
PAS mengesahkan menerima jemputan daripada UMNO untuk turut menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung bermula 9 September ini.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan turut mengesahkan bahawa beliau sendiri antara yang akan hadir dalam perhimpunan berkenaan.
“Saya menerima surat jemputan hari ini, dan surat jemputan itu ditujukan kepada Presiden PAS, Setiausaha Agung, serta dua lagi pimpinan,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa pihaknya mengesahkan kehadiran, dan beliau sendiri akan turut sama hadir. Sekiranya Presiden PAS tidak dapat hadir, pihaknya akan menghantar wakil bagi mewakili kehadiran tersebut. Bagi dua lagi pimpinan yang bakal hadir, katanya, perkara itu akan ditentukan kemudian.
“Ini bukan kali pertama PAS menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, pada 2019 kita sudah menghadirinya,” katanya lagi.
Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan Muktamar PAS Pusat Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa hari ini.
PAU 2026 berlangsung empat hari bermula 9 September
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 akan berlangsung selama empat hari, iaitu bermula 9 hingga 12 September.
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki turut dilaporkan berkata, hari pertama perhimpunan pada 9 September akan bermula dengan sesi taklimat Presiden UMNO, diikuti pula dengan majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO.
Manakala pada 10 September pula, perhimpunan akan diteruskan dengan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.