
Bersatu mengesahkan tidak akan mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, turut menegaskan parti itu akan terus menggunakan logo Bersatu pada pilihan raya nanti, seperti pada PRN Negeri Sembilan.
Strategi bertanding solo
Menurut Mohamed Azmin, pihaknya ketika ini sedang merangka strategi, termasuk mempersiapkan jentera ke arah bertanding solo.
“Bersatu tidak membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.
“Tumpuan sekarang ialah untuk meneliti persiapan gerak kerja pilihan raya di beberapa kawasan tumpuan,” katanya kepada BH semalam.
Pertemuan di Melaka peribadi
Mengenai perjumpaan yang berlangsung di Melaka kelmarin, Mohamed Azmin berkata pertemuan antara beberapa pemimpin kanan PH dan Bersatu langsung tiada kaitan dan bercanggah dengan pendirian parti.
Sebaliknya, katanya, perjumpaan itu bersifat peribadi dan tidak lebih daripada itu.
“Perjumpaan di atas tiada kaitan dengan pendirian Biro Politik Bersatu. Perjumpaan atas sifat peribadi,” katanya.
BH semalam melaporkan Bersatu mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan PH Melaka dalam jamuan makan malam tertutup sempena program Pra-PRN Melaka.
Pertemuan di sebuah hotel dekat Jalan Hang Tuah itu dihadiri Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka, Mohamad Ali Mohamad, Ketua Bersekutu Bersatu, R Sanjeevan, dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamiddin Abdul Karim.
Spekulasi dan formula PH Plus
Kehadiran pemimpin daripada kedua-dua blok politik itu mencetuskan spekulasi mengenai agenda pertemuan berkenaan, terutama ketika rundingan kerjasama politik menjelang PRN Melaka sedang berlangsung.
Media sebelum ini melaporkan PH Melaka dijangka bergerak menerusi formula PH Plus tanpa pembabitan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, dilaporkan berkata setakat ini tiada rundingan dengan BN, manakala perbincangan dengan beberapa parti lain yang mempunyai aspirasi sama masih berjalan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.