
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) digesa tidak melayan tuntutan PAS yang disifatkan sebagai helah untuk mengelak daripada memberi jawapan dalam tempoh 30 hari seperti ditetapkan.
Ketua Penerangan Bersatu, Faisal Ismail Aziz, berkata tindakan pemimpin PAS, Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung PN, berpura-pura tidak tahu mengenai aduan Bersatu adalah “sukar diterima” dan tidak munasabah.
Siasatan empat jam sudah dibuat
Menurut Faisal, Takiyuddin sendiri sebelum ini mengakui pernah dipanggil dan disiasat oleh JPPM selama empat jam pada 22 Ogos lalu berhubung aduan rasmi yang dikemukakan Bersatu.
“Justeru, tidak munasabah sekiranya perkara yang telah disiasat dan diberi penjelasan selama empat jam sebelum ini kini dijadikan alasan untuk meminta penjelasan semula daripada JPPM.
“JPPM tidak seharusnya membenarkan permintaan pentadbir PN untuk mendapatkan penjelasan ini sebagai ruang untuk melengah-lengahkan penjelasan mereka, lebih-lebih lagi kerana mereka telah pun diberi peluang,” katanya di Facebook.
Dakwaan taktik berlengah PAS
Mengulas lanjut, Faisal mendakwa PAS mempunyai sejarah panjang menggunakan “taktik berlengah”, tidak amanah, serta sering membelakangkan keputusan musyawarah sejak mengambil alih pentadbiran PN.
Antaranya, katanya, penangguhan pindaan Perlembagaan PN berulang kali, kelewatan memaklumkan status Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat kepada speaker Dewan Rakyat, serta pelanggaran keputusan mesyuarat dalam penamaan ketua pembangkang.
Beliau berkata, PAS turut melengah-lengahkan mesyuarat persediaan pilihan raya dan rundingan kerusi bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan, sebelum mengadakan rundingan secara “pintu belakang” bersama Umno tanpa pengetahuan parti anggota lain.
Penggantungan aktiviti PN oleh JPPM
Semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata, PN memohon penjelasan daripada JPPM berhubung penggunaan logo gabungan itu pada PRN Melaka, dan kini menunggu maklum balas rasmi.
Rabu lalu, JPPM menggantung semua aktiviti PN sehari selepas mengeluarkan notis tunjuk sebab susulan aduan yang dikemukakan Bersatu.
Jabatan itu sebelum ini menjelaskan penggantungan bertujuan melindungi kepentingan pertubuhan dan bukan bermaksud pendaftaran PN sudah dibatalkan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.