
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dikritik Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kerana mengumumkan bantuan khas kepada pemandu teksi ketika majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, pengumuman bantuan khas kewangan RM1,000 itu boleh menimbulkan persepsi seolah-olah ia sumbangan parti yang bertanding, sedangkan ia dibiayai menggunakan hasil kerajaan.
Menurut kenyataan itu, bantuan yang menggunakan dana kerajaan tidak sepatutnya diumumkan atau dipromosikan dalam acara kempen politik kerana berpotensi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah.
Hasil kerajaan, bukan dana parti
“Hasil daripada penjualan nombor pendaftaran khas yang digunakan untuk membiayai bantuan ini adalah hasil kerajaan yang sewajarnya dimanfaatkan untuk kebajikan semua rakyat.
“Ia bukan dana milik mana-mana parti politik dan tidak sepatutnya diumumkan atau dipromosikan dalam acara kempen bagi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, BERSIH menegaskan bahawa penjelasan mengenai bantuan itu diberikan kepada penerima di seluruh negara tidak menjawab persoalan mengapa bantuan kepada pemandu di Melaka dibangkitkan ketika majlis pengumuman calon PH.
Loke nafi pancing undi
Sebelum ini, Loke menafikan bantuan khas RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Melaka bertujuan memancing undi pada PRN berkenaan.
Beliau berkata, insentif itu diberikan kepada semua pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara. Ia diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen, baru-baru ini.
Dibiayai jualan nombor pendaftaran khas
Bantuan itu dibiayai hasil jualan nombor pendaftaran khas H yang merekodkan kutipan keseluruhan RM91.21 juta.
Hasil kutipan berkenaan disalurkan kepada beberapa inisiatif untuk rakyat, termasuk Program MyLesen, pemberian topi keledar percuma serta bantuan kepada pemandu teksi dan kereta sewa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.