
Barisan Nasional (BN) Johor mempersoalkan calon Menteri Besar yang akan ditampilkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata PH masih belum mengumumkan calon Menteri Besar mahupun mengemukakan pelan pembangunan yang meyakinkan bagi masa depan Johor.
“Mereka bercakap soal perubahan, tetapi rakyat mahu tahu siapa calon Menteri Besar mereka. Sampai hari ini masih tiada jawapan yang jelas diberikan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak melihat sebarang idea pembangunan baharu atau perancangan yang mampu membawa Johor ke tahap lebih tinggi berbanding apa yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini.
BN dakwa PH lebih banyak serang politik berbanding tawar penyelesaian
Onn Hafiz mendakwa kempen pihak lawan lebih banyak tertumpu kepada serangan politik berbanding menawarkan penyelesaian kepada isu yang dihadapi rakyat Johor.
“Setakat ini apa yang saya lihat, mereka lebih banyak menabur fitnah, memainkan fakta yang tidak tepat dan menghasut rakyat dengan perkara-perkara yang tidak betul berbanding mengemukakan idea atau dasar yang boleh memajukan Johor,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap kematangan rakyat Johor untuk menilai dan membezakan antara fakta dan fitnah, serta menentukan siapa yang benar-benar mempunyai perancangan terbaik untuk masa depan negeri.
Kerajaan BN Johor senaraikan pencapaian sebagai rekod prestasi
Sebaliknya, Onn Hafiz menegaskan kerajaan negeri pimpinan BN mempunyai rekod pencapaian yang jelas dan boleh dinilai rakyat, termasuk kejayaan menarik pelaburan bernilai lebih RM110 bilion ke Johor.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sekadar angka, malah telah diterjemahkan kepada pelbagai bantuan dan program kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk empat fasa Bantuan Kasih Johor (BKJ), bantuan perumahan, bantuan sewa rumah, bantuan pembelian rumah serta program sifar miskin tegar.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.