
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mencapai persefahaman untuk tidak menyerang antara satu sama lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun kedua-dua gabungan itu bertembung di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkara itu didedahkan oleh Presiden Umno sekaligus Pengerusi BN, Zahid Hamidi, yang menegaskan parti-parti yang bertanding akan memberi tumpuan kepada memperkenalkan calon serta menawarkan khidmat kepada rakyat, bukannya saling menyerang.
“Ya, kita berkawan dan berlawan dalam gelanggang yang sama, dengan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat. Namun, kesefahaman itu telah kita tanamkan supaya kita tidak serang pihak lawan walaupun berbeza pandangan dan pendapat untuk Johor,” katanya di Benut.
Kepentingan nasional dijadikan asas persefahaman
Zahid menjelaskan bahawa pendekatan tersebut dipersetujui oleh semua parti dalam kerajaan perpaduan kerana mengutamakan kepentingan yang lebih besar di peringkat nasional.
“Kerana kita harus melihat pada gambaran lebih besar di peringkat nasional nanti. Ini sangat difahami oleh kepimpinan utama parti-parti yang berada di dalam kerajaan perpaduan,” katanya, sambil menyeru agar kempen dijalankan dengan penuh kesantunan dan berhemah.
BN kekal solo, nafi kerjasama dengan parti lain
Dalam pada itu, Zahid turut menafikan BN menjalinkan sebarang kerjasama dengan parti lain pada PRN Johor, dengan menegaskan BN kekal bertanding secara solo di semua 56 DUN.
Beliau berkata, keputusan meletakkan calon di kesemua kerusi itu membuktikan BN tidak menggunakan lambang mana-mana parti lain.
“Tiada seorang pun calon kita yang menggunakan lambang daripada parti lain. Mungkin ada perbincangan di peringkat lapisan ketiga atau keempat sebab politik, mesti ada perbincangan dengan beberapa kemungkinan,” katanya.
Zahid turut merujuk kenyataan awal Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang sejak awal menyatakan hasrat BN untuk bergerak solo, dan hakikat itu kini terbukti dengan penempatan calon di semua 56 kerusi DUN.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.