
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyatakan partinya menerima pendirian PAS yang tidak akan menggunakan jentera pilihan rayanya untuk membantu kempen calon Bersatu, walaupun kedua-dua parti mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor.
Muhyiddin berkata walaupun prinsip dalam PN sepatutnya berasaskan kerjasama dan saling membantu, Bersatu tidak mahu memaksa mana-mana pihak untuk memberikan sokongan.
“Tak apalah, saya tak minta siapa nak bantu. Siapa nak bantu, bantulah. Walaupun dari segi prinsip PN sepatutnya saling membantu, kalau ada rakan yang tak nak bantu, kita terimalah,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang.
PAS arah jentera fokus pada kerusi sendiri
Sehari sebelumnya, Hadi menegaskan PAS tidak akan menggunakan jentera pilihan rayanya untuk membantu kempen calon Bersatu pada PRN Johor. Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, turut menjelaskan bahawa jentera parti dari kawasan dan DUN yang ditandingi Bersatu diarahkan bertugas di DUN yang ditandingi PAS dan parti komponen PN yang lain.
Hadi sebelum itu pernah menyatakan bahawa ‘perceraian’ antara PAS dan Bersatu, termasuk jentera kempen yang bergerak berasingan, bukan merupakan strategi politik untuk memperkukuh PN menjelang pilihan raya.
Bersatu kekal terbuka bantu rakan PN
Meskipun menerima pendirian PAS, Muhyiddin menegaskan Bersatu tetap bersikap terbuka untuk membantu calon rakan dalam PN, termasuk PAS, sekiranya diminta.
“Kalau mereka mahu sokongan kita, kita akan bantu. Amalan dan sikap kita terbuka,” katanya.
Muhyiddin menyampaikan kenyataan tersebut selepas mengiringi calon PN Bukit Kepong, Sahruddin Jamal, ke pusat penamaan calon.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.