
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkenan menzahirkan Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dalam satu istiadat penuh tradisi yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Istiadat dimulakan dengan Orang Empat Istana tampil menghadap Tuanku Muhriz bagi memohon perkenan memulakan upacara, sebelum Undang Luak Sungei Ujong yang baharu menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia kepada baginda.
Tuanku Muhriz kemudian berkenan menerima penzahiran Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dengan gelaran Datuk Klana Petra.
Titah Tuanku Muhriz: Amanah dan taat setia
Baginda menzahirkan harapan agar semua janji yang dilafazkan sentiasa dipegang dengan penuh keikhlasan, amanah, dan rasa tanggungjawab.
“Beta mengingatkan Orang Kaya beta sentiasa menjunjung taat setia kepada Institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta memelihara hubungan erat dan penuh hormat dengan beta dan istana,” titah baginda pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong.
Tuanku Muhriz turut bertitah bahawa hubungan yang terjalin atas dasar saling menghormati, kepercayaan, dan muafakat merupakan asas penting dalam memastikan kelangsungan pemerintahan beraja, kedaulatan adat, serta kesejahteraan negeri.
Baginda juga menyeru rakyat agar berganding bahu dengan kepimpinan adat dalam memperkemas dan melaksanakan semua urusan serta tanggungjawab adat sebaik-baiknya, disamping terus menghormati dan menjunjung tinggi nilai adat yang diwarisi sejak turun-temurun.
Profil Undang Luak Sungei Ujong baharu
Turut berangkat pada istiadat tersebut ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin. Istiadat penuh tradisi itu turut disaksikan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun, serta ketua jabatan kerajaan negeri.
Faris, yang kini berusia 28 tahun, dilahirkan pada 30 Oktober 1997. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memperoleh kelayakan profesional menerusi program Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada 2022. Faris mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Amirah Syed Ismail Ash-Shahab.
Istiadat akan diteruskan pada petang yang sama, apabila Tuanku Muhriz berkenan menzahirkan Undang Luak Rembau ke-22.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.