
Tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang bermula hari ini dijangka tertumpu kepada beberapa kerusi panas yang membabitkan calon berprofil tinggi, penyandang serta kemunculan semula muka lama, sekali gus berpotensi mempengaruhi keputusan keseluruhan pada hari pengundian 11 Julai ini.
Machap jadi medan uji kepimpinan Onn Hafiz
Antara kerusi yang paling mencuri perhatian ialah DUN Machap, di mana Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi daripada Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusinya dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nur Hafiz Roslan, yang juga seorang peguam.
Kawasan yang mempunyai 35,206 pemilih berdaftar itu dianggap sebagai medan menguji penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Onn Hafiz selepas empat tahun menerajui pentadbiran negeri.
Turut menjadi tumpuan ialah DUN Puteri Wangsa yang menyaksikan bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik mewakili PH dalam pertandingan lima penjuru, berdepan Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (Bersama), Rashifa Al Junied (Muda) dan calon bebas Wang Wee Siong.
Dengan 128,723 pemilih berdaftar, Puteri Wangsa merupakan antara kawasan terbesar dari segi jumlah pengundi dan dijangka menjadi salah satu persaingan paling sengit pada PRN kali ini.
Sahruddin kembali beraksi di Bukit Kepong
Di utara Johor, DUN Bukit Kepong dijangka menyaksikan saingan sengit apabila bekas Menteri Besar Johor Sahruddin Jamal, kini mewakili Perikatan Nasional (PN), berdepan calon BN Ahmad Syar’e Yusof dan calon PH C Subramani.
Pertembungan tiga penjuru di kerusi yang mempunyai 37,683 pengundi itu disifatkan sebagai antara ujian terbesar buat PN pada PRN kali ini.
Bagi DUN Permas pula, Amanah mencipta kelainan apabila buat pertama kali mempertaruhkan calon berbangsa Cina, Sharon Teo Siew Hui, dalam pertandingan empat penjuru yang turut membabitkan Baharudin Mohamed Taib (BN), T Vela (PN) dan Zamil Najwah Arbain (Bersama).
Sementara itu, kemunculan semula bekas Menteri Kesihatan Adham Baba di DUN Pasir Raja turut menjadi antara tarikan utama PRN Johor. Selepas lapan tahun tidak bertanding di kerusi DUN, bekas Adun Parit Raja itu kembali mewakili BN dalam saingan tiga penjuru, berdepan calon PH Mohd Fakharuddin Moslim dan calon PN Yuhanita Yunan, di kawasan yang mempunyai 29,818 pemilih berdaftar.
Larkin dan Endau turut menjadi tumpuan
Kerusi DUN Larkin dijangka menjadi antara penentu utama di kawasan bandar apabila mempertemukan penyandang yang juga Exco Belia dan Sukan Johor, Mohd Hairi Mad Shah (BN), dengan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat (Amanah).
Kehadiran calon Bersama, Norsinah Abu, turut dijangka menambah dinamik persaingan serta mempengaruhi pola sokongan di kerusi yang mempunyai 76,662 pemilih berdaftar itu.
Selain itu, DUN Endau mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pentas sulung Parti Orang Asli Malaysia (Asli) menyertai pilihan raya negeri, sekali gus membuka lembaran baharu penyertaan parti berasaskan masyarakat Orang Asli dalam sistem demokrasi negara.
Asli mempertaruhkan Jati Awang, 52, di kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru yang turut melibatkan Alwiyah Talib (BN), Saiful Nizam Samat (PH) dan Hasnul Hakimi Hussien (PN).
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali, turut menjangkakan beberapa kerusi marginal yang dimenangi BN dengan majoriti tipis pada PRN Johor 2022, seperti Bukit Pasir dan Parit Yaani, berpotensi menentukan sama ada parti itu mampu mengekalkan penguasaan dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau memberi ruang kepada parti lain untuk menambah kerusi.
PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.