
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap aktivis Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, atas kesalahan fitnah jenayah berkaitan kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Peguam Rafique Rashid Ali dalam kenyataan berkata Hakim Norma Ismail memutuskan pembelaan Badrul gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Hukuman ditangguh menunggu rayuan
Menurut Rafique, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas mendengar hujahan mitigasi daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Mahkamah turut menaikkan jumlah jaminan Badrul kepada RM5,000.
Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman mengendalikan pendakwaan.
Latar belakang kes
Badrul, 47, didakwa pada 29 April 2024 atas kesalahan yang dilakukan pada 22 Januari tahun sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2025. Namun, Mahkamah Tinggi pada tahun ini memerintahkannya membela diri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.