
China menguji peluru berpandu balistik jarak jauh membawa hulu peledak tiruan di Lautan Pasifik pada Isnin, merupakan pelancaran pertama sejenisnya dalam tempoh dua tahun.
Peluru berpandu itu dilancarkan daripada kapal selam bertenaga nuklear China dan menghantar hulu peledak tiruan ke Lautan Pasifik, menurut laporan Xinhua, agensi berita rasmi China.
Laporan itu menyatakan peluru berpandu tersebut mendarat tepat di kawasan yang ditetapkan, manakala pelancaran ujian yang dilakukan pada jam 12.01 tengah hari waktu Beijing itu dijelaskan Xinhua sebagai tidak diarahkan terhadap mana-mana negara atau sasaran tertentu.
Sehingga kini masih belum jelas lokasi sebenar pendaratan peluru berpandu berkenaan. Pelancaran itu berlaku sejurus selepas pemimpin Australia dan Fiji mengumumkan perjanjian pertahanan bersama serta pakatan keselamatan serantau, yang merupakan perjanjian terbaharu dalam siri kesepakatan Canberra dengan negara-negara Pulau Pasifik, yang secara meluas dilihat sebagai usaha menangani kehadiran China yang semakin meluas di rantau itu.
Kerajaan-kerajaan di rantau tersebut dilaporkan telah dimaklumkan mengenai pelancaran itu sejurus sebelum ia dilakukan.
Ujian sebelum ini pada 2024 cetus kebimbangan serantau
Ujian sebelum ini berlaku pada September 2024, ketika China melancarkan peluru berpandu balistik antara benua membawa hulu peledak tiruan merentasi Lautan Pasifik ke perairan berhampiran French Polynesia, yang ketika itu turut mencetuskan kebimbangan negara-negara di rantau berkenaan.
Ia turut menjadi kali pertama dalam lebih empat dekad China mengumumkan secara terbuka ujian peluru berpandu balistik antara benua di rantau Pasifik.
Menteri Luar New Zealand, Winston Peters berkata negaranya amat bimbang dengan ujian tersebut yang dilihat sebagai sebahagian daripada corak berulang tindakan China.
“New Zealand menganggap ini sebagai perkembangan yang tidak dialu-alukan dan membimbangkan. Kami, seperti jiran-jiran kami di negara Pasifik lain, tidak berminat melihat China menjadikan Pasifik Selatan sebagai lokasi ujian keupayaan peluru berpandu,” katanya.
Menteri Luar Australia, Penny Wong pula menyifatkan ujian itu sebagai tindakan yang menggugat kestabilan rantau, sambil menyatakan ia berlaku dalam konteks pembangunan ketenteraan pesat China yang kurang telus serta tidak memberikan jaminan yang jelas mengenai niat sebenarnya kepada rantau ini.
Kerajaan Jepun pula dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya telah menyampaikan kebimbangan serius berhubung peningkatan aktiviti ketenteraan China, sambil turut menggesa China supaya mempertimbangkan semula pelancaran tersebut.
Pakar nilai China guna peluru berpandu generasi baharu JL-3
Dalam pengumuman pada Isnin, kerajaan China tidak menjelaskan jenis peluru berpandu yang diuji. Jeffrey Lewis, penyelidik di Middlebury College, Vermont yang mengkaji pemodenan senjata nuklear China berpendapat tentera China berkemungkinan besar menguji JL-3, peluru berpandu balistik antara benua generasi baharu yang direka khas untuk dilancarkan daripada kapal selam.
China pernah mempamerkan peluru berpandu JL-3 pada perarakan ketenteraan di Beijing tahun lalu, sebagai sebahagian daripada koleksi senjata nuklearnya yang semakin berkembang.
Lewis turut menjelaskan ujian terbaharu itu menunjukkan pelancaran ujian senjata berkeupayaan nuklear China dijangka semakin kerap pada tahun-tahun akan datang, dengan menyifatkannya sebagai era baharu pengujian di mana setiap sistem senjata akan mendapat giliran diuji.
Beliau turut menjelaskan bahawa China secara sejarahnya kurang menguji peluru berpandu balistik antara benua berbanding negara lain, namun faktor politik yang mendasari pendekatan itu kini telah berubah, dengan China dilihat semakin bersedia menanggung kos politik bagi meningkatkan kekerapan ujian tersebut.
Ujian pada 2024 pula dipercayai membabitkan peluru berpandu DF-31 jenis mudah alih yang dilancarkan dari Hainan, sebuah wilayah pulau di selatan China, menurut analisis yang diterbitkan oleh Federation of American Scientists.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.