
DAP Perak telah membuat keputusan sebulat suara untuk terus kekal bersama kerajaan perpaduan, sekali gus menggerakkan seluruh jentera parti bagi menunaikan mandat rakyat serta meneruskan agenda reformasi negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, DAP Perak memaklumkan ketetapan itu diambil untuk menggerakkan seluruh jentera parti dalam menunaikan mandat rakyat dan melaksanakan janji pilihan raya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan tersebut, kepimpinan Anwar terbukti berjaya melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang tiga tahun pentadbiran, selain berjaya meningkatkan imej dan kedudukan negara di pentas dunia.
“DAP mesti terus membuktikan kemampuan melalui pencapaian dan prestasi bekerja agar tidak menghampakan harapan rakyat,” menurut kenyataan itu.
“Dengan kekal berada dalam kerajaan, kita dapat terus melaksanakan manifesto Pakatan Harapan termasuk reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, mengurangkan kos sara hidup, pembaharuan sistem pendapatan negara serta menjamin hak dan kebebasan masyarakat berbilang kaum.”
Perlu realisasikan dasar sepenuhnya
DAP Perak turut menegaskan keperluan untuk merealisasikan sepenuhnya dasar dalam penggal ini, bagi menggerakkan reformasi serta memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat, meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Parti itu juga komited untuk menggembleng seluruh kekuatan bagi menunaikan mandat rakyat, sambil kekal berpegang kepada aspirasi perjuangan “Malaysia untuk rakyat Malaysia” dan tidak lupa amanah perjuangan yang telah dipikul.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa demi mempertahankan kekuatan politik masyarakat majmuk yang inklusif dan progresif, DAP perlu kekal dalam kerajaan perpaduan bagi mengimbangi serta menghalang kuasa ekstrem daripada terus berkembang.
Elak ulang ketidakstabilan politik
“Malaysia telah menyaksikan pertukaran empat Perdana Menteri dalam tempoh tujuh tahun lepas. Ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi serta keyakinan pelabur. Pengalaman pahit itu tidak boleh berulang, oleh itu DAP sama sekali tidak boleh mengecewakan mandat yang diberikan oleh rakyat,” menurut kenyataan itu.
“Parti mesti memikul tanggungjawab untuk terus kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal bagi mengekalkan kestabilan politik, melaksanakan reformasi, membuktikan pencapaian dan meraih semula keyakinan rakyat. Inilah jalan yang benar dan bertanggungjawab.”
Pendirian ini dizahirkan menjelang Persidangan Kebangsaan DAP 2026 pada Ahad ini, yang bakal menentukan hala tuju parti sama ada kekal atau keluar daripada kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa. Usul berkaitan itu akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.
Keputusan mengenai usul tersebut akan ditentukan menerusi undian 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak, yang akan menghadiri persidangan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.