
Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerjasama antara partinya dan PAS di Pahang pada PRU16 bukan sesuatu yang mustahil.
Beliau yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Pahang menyatakan pihaknya sedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti politik lain termasuk PAS. Syaratnya, langkah itu mesti memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat di negeri berkenaan.
“Kita terbuka. Bukan sahaja kepada PAS, kepada mana-mana parti sekalipun,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa belum ada sebarang rundingan rasmi diadakan antara kedua-dua pihak ketika ini.
Fokus utama terus berkhidmat rakyat
Menteri Besar Pahang itu menegaskan fokus utama kepimpinan negeri pada masa ini ialah terus berkhidmat kepada rakyat. Perihal percaturan politik PRU belum menjadi keutamaan.
Semalam, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar dilaporkan berkata partinya bersedia bertembung dengan mana-mana parti pada pilihan raya akan datang. Ini sekiranya usaha penyatuan parti-parti Melayu gagal dicapai.
Menurut Rosli, meskipun PAS meletakkan agenda penyatuan ummah sebagai keutamaan, parti itu masih belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi berhubung kerjasama bersama Barisan Nasional di negeri itu.
Setiap negeri ada keadaan tersendiri
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Sharkar Shamsudin berkata pendekatan di Negeri Sembilan tidak semestinya boleh digunakan di Pahang atau negeri lain. Beliau merujuk kepada kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional.
Katanya, setiap negeri mempunyai keadaan tersendiri.
Pahang kini ditadbir oleh kerajaan gabungan BN dan Pakatan Harapan yang dibentuk selepas PRU15. Ketika itu tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.
Pada pilihan raya lalu, BN memenangi 17 kerusi DUN, manakala PN menguasai 17 kerusi dan PH memperoleh lapan kerusi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.