
Perkembangan politik semasa di negara ini tidak boleh dilihat menerusi satu acuan sahaja kerana setiap negeri mempunyai keunikan dan dinamiknya yang tersendiri.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, hakikat ini turut membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan penjajaran politik, termasuk dalam kalangan PH sendiri.
“Kerana kita tahu bahawa setiap negeri mempunyai keunikan politik masing-masing. Jadi tak mustahil dinamika itu juga menjelma bagi pihak Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi 2025 di Surau Kampung Tebat Kering, Kuala Pilah.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah Nawal Mohamed Amin, serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Shukri Ishak, selain barisan pengurusan tertinggi agensi di bawah kementerian berkenaan.
Pengampunan Najib hak mutlak Agong
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut menyentuh isu pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak, dengan menegaskan ia tertakluk di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, perkara itu merupakan kuasa mutlak serta hak Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.
“Pada pihak kerajaan, PH sendiri telah mengeluarkan kenyataan minggu lepas. Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh yang bertanggungjawab mewakili kerajaan dalam lembaga pengampunan juga telah memberikan kenyataan.
“Keputusan memberikan pengampunan bersyarat itu adalah keputusan Tuanku,” katanya.
Tahanan rumah sehingga 2028
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat lalu memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukumannya secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pengampunan itu bagaimanapun tertakluk kepada syarat Najib membayar denda sebanyak RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, perintah tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.