
Kumpulan bekas penjawat awam kanan G25 mendesak agar pandangan bertulis peguam negara Dusuki Mokhtar kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) didedahkan kepada umum, susulan keputusan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menghabiskan baki hukumannya sebagai tahanan di rumah.
Kumpulan itu berkata, Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa LPWP hendaklah mempertimbangkan pandangan bertulis peguam negara, manakala Perkara 40(1A) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat lembaga berkenaan.
G25 turut mempersoalkan bentuk nasihat undang-undang yang diberikan kepada LPWP, memandangkan hakim Alice Loke dalam kes Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang melibatkan Najib memutuskan bahawa perintah tahanan di rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme sedemikian di Malaysia.
“Orang ramai wajar diberikan akses kepada pandangan bertulis peguam negara serta representasi menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh. Perlu dijelaskan sama ada keputusan membenarkan tahanan rumah itu selari dengan nasihat bertulis peguam negara dan representasi yang dikemukakan menteri berkenaan.
“Sekiranya selari, rakyat berhak diberitahu; jika sebaliknya, rakyat juga berhak tahu. Wujud keperluan mendesak untuk menjelaskan secara tuntas apa yang telah berubah dari sudut undang-undang, atau apakah punca kuasa yang wujud ketika ini sehingga menjadi asas kepada keputusan LPWP mengarahkan tahanan rumah,” kata G25 dalam satu kenyataan.
G25 turut menggesa LPWP menyemak semula keputusan berkenaan dalam mesyuarat terdekat, dengan matlamat untuk membatalkannya.
Selepas mesyuarat LPWP pada Jumaat, Najib, 73, dikurniakan pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sekali gus membenarkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada penyelesaian denda RM50 juta serta syarat-syarat lain.
Mesyuarat lembaga itu, yang turut dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan, dan tiga ahli yang dilantik oleh Agong, dipengerusikan sendiri oleh Agong.
Perlu kawal selia jelas, bukan untuk individu tertentu
G25 menegaskan, sekiranya tahanan rumah hendak dijadikan sebahagian sistem keadilan jenayah di Malaysia, ia sewajarnya dikawal selia oleh undang-undang serta kriteria yang jelas dan terpakai secara menyeluruh, bukan sekadar seolah-olah sengaja diwujudkan demi kepentingan individu tertentu.
Kumpulan itu turut merujuk pandangan pakar undang-undang yang menyifatkan keputusan itu seolah-olah satu penggunaan tahanan rumah yang belum pernah berlaku sebelum ini sebagai bentuk pengampunan diraja di Malaysia.
Menurut G25, respons kerajaan terhadap tuntutan ketelusan ini amat penting bagi membuktikan komitmennya terhadap kedaulatan undang-undang, reformasi institusi, dan usaha memulihkan keyakinan rakyat.
Tambahnya, kegagalan menjawab desakan sedemikian hanya akan membuka ruang kepada tanggapan umum bahawa tiada alasan kukuh di sebalik keputusan membenarkan Najib menghabiskan baki hukumannya sebagai tahanan di rumah.
“Menghormati peranan raja mengikut Perlembagaan bukan bermakna kerajaan mahupun rakyat perlu berdiam diri apabila timbul persoalan mengenai keabsahan undang-undang, ketelusan, dan keadilan bagi rakyat,” tegasnya.
“Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen, dan rakyat kita berhak dilayan sebagai peserta yang berpengetahuan serta bertanggungjawab dalam amalan demokrasi ini. Kebijaksanaan rakyat tidak wajar diperlekehkan sama sekali. Kita berhak dilayan dengan penuh maruah.”
Soal kesaksamaan layanan di sisi undang-undang
G25 menambah, keputusan berkenaan telah menghakis lagi keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan jenayah, di samping membangkitkan persoalan mengenai kesaksamaan layanan di sisi undang-undang.
“Rakyat berhak bertanyakan soalan yang mudah: Adakah layanan serupa akan diberikan kepada banduan biasa yang disabitkan dengan kesalahan setaraf? Sekiranya jawapannya tidak, kerajaan wajib menjelaskan prinsip keadilan saksama yang mewajarkan perbezaan layanan tersebut,” katanya.
Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya berhubung kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Beliau sebelum ini menjalani hukuman penjara yang diringankan kepada enam tahun di Penjara Kajang selepas LPWP memendekkan separuh tempoh hukuman asal 12 tahun pada Februari 2024. Denda awal berjumlah RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.