
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin supaya berdebat di luar Dewan Rakyat berhubung isu pencerobohan tanah Orang Asli, jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak dan jangkitan HIV di Kelantan.
Fadhli membuat cabaran tersebut setelah tidak berpuas hati kerana tidak diberi peluang untuk menjawab dakwaan yang dibangkitkan oleh Chong ketika membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2024 di Dewan Rakyat.
“Saya ajak Chong berdebat di luar Parlimen di mana-mana platform, sama ada Astro Awani, Sinar Harian atau mana-mana pihak yang sudi menjadi penganjur.
“Kalau tidak sahut cabaran ini, dianggap agak pengecut dan tidak berani,” kata Fadhli semasa mencelah dalam perbahasan berkenaan.
Fadhli bidas Chong guna Parlimen serang Kelantan
Fadhli turut membidas tindakan Chong yang menurutnya menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan untuk melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Kelantan, tanpa memberi ruang kepadanya untuk membuat penjelasan.
Beliau berkata, isu-isu hak asasi dan moral merupakan isu nasional yang tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memburukkan atau menghina mana-mana negeri.
“Kalau benar mahu membincangkan isu ini, bahaskan secara terbuka. Jangan gunakan ruang Parlimen untuk menyerang Kelantan tetapi apabila saya bangun hendak menjawab, tidak diberikan laluan,” katanya.
Isu tanah Orang Asli dan HIV dibangkitkan Chong
Terdahulu, Chong dalam perbahasannya membangkitkan beberapa perkara seperti pencerobohan tanah Orang Asli di Kelantan yang tidak selesai, serta isu peratusan kes jangkitan HIV yang meningkat di negeri itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.