
Kerajaan menafikan dakwaan mengadakan rundingan pakej pembayaran semula kes 1MDB dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, serta delegasi China.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menafikan laporan Sarawak Report dan Wall Street Journal (WSJ) yang menyiarkan dakwaan terbabit.
“Saya menafikan tuduhan tersebut,” katanya ringkas menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Muda-Muar, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Syed Saddiq bertanya kepada Liew berhubung laporan Sarawak Report dan WSJ yang mendakwa Jho Low bersama delegasi China menghadiri mesyuarat sulit di Malaysia pada hujung tahun lalu, berkaitan pakej pembayaran semula 1MDB.
Jho Low masih dalam buruan, lokasi tidak diketahui
Low berdepan pelbagai pertuduhan, termasuk rasuah dan pengubahan wang haram, di Amerika Syarikat serta Malaysia atas dakwaan mendalangi penyelewengan sekurang-kurangnya USD4.5 bilion, bersamaan RM17.69 bilion, daripada 1MDB.
Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan lokasinya masih tidak diketahui sehingga kini.
Pada Mei lalu, Ketua Polis Negara, Khalid Ismail dilaporkan berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan bahawa Jho Low pulang ke Malaysia bagi menghadiri beberapa mesyuarat sulit.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.