
Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang yang baik untuk merampas beberapa kerusi marginal daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina mencecah 65 peratus, menurut sebuah badan pemikir.
Pusat Penyelidikan Masyarakat Cina Malaysia (CMCS) berkata PH memulakan kempen PRN Johor dengan agak perlahan, namun sokongan terhadap gabungan itu semakin stabil selepas seminggu berkempen, lapor Oriental Daily.
Badan pemikir itu berkata PH perlu menggerakkan pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi, selain menarik sokongan pengundi Melayu atas pagar yang mengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2022.
PN berdepan perpecahan dalaman selepas PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu bulan lalu. Kedua-dua parti itu bertanding di bawah lambang yang sama dalam PRN Johor, namun tidak berkempen antara satu sama lain.
“Jika momentum kempen PH terus meningkat pada fasa akhir dan berjaya meningkatkan peratusan keluar mengundi pengundi Cina kepada 65 peratus, ia akan mengukuhkan kedudukan gabungan itu di semua kerusi marginal,” kata badan pemikir itu.
Terdapat tiga kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi pada PRN 2022, iaitu Bukit Pasir dengan majoriti 198 undi, Parit Yaani dengan 294 undi dan Serom dengan 699 undi.
PRN Johor 2022 mencatatkan peratusan keluar mengundi 54.92 peratus, dengan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.
Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung lapan bulan selepas itu, peratusan keluar mengundi meningkat kepada 74.13 peratus, dengan PH menang 13 kerusi Parlimen di Johor berbanding sembilan kerusi yang dimenangi BN.
Undi pengundi Cina dijangka antara 55 hingga 60 peratus
CMCS berkata peratusan keluar mengundi pengundi Cina pada PRN 2022 adalah lebih rendah, iaitu sekitar 45 peratus, sebahagian besarnya disebabkan pandemik Covid-19 apabila ramai pengundi luar tidak pulang mengundi, manakala pengundi tempatan pula bimbang dijangkiti virus itu.
Badan itu mengunjurkan peratusan keluar mengundi pengundi Cina pada PRN kali ini berada antara 55 peratus hingga 60 peratus. Walaupun jauh lebih tinggi berbanding 45 peratus pada PRN 2022, angka itu masih lebih rendah daripada kadar yang dicatatkan pada PRU15.
DAP hadapi cabaran besar pertahan empat kerusi utama
CMCS berkata DAP berdepan cabaran besar untuk mempertahankan empat daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenanginya.
Menurut badan pemikir itu, pengundi Cina membentuk lebih 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di enam kerusi, sekali gus memberikan kelebihan kepada DAP untuk mempertahankan kerusi tersebut, termasuk Skudai.
Walaupun imej DAP sedikit terjejas susulan kontroversi yang melibatkan bekas Adun Skudai, Marina Ibrahim, isu itu kini semakin reda dan dijangka hanya memberi kesan yang minimum.
Badan pemikir itu berkata empat kerusi yang wajar diberi perhatian ialah Jementah, Tangkak, Perling dan Johor Jaya, yang masing-masing mempunyai komposisi pengundi Cina kurang daripada 50 peratus dan kira-kira 40 peratus pengundi Melayu.
Menurut CMCS, BN berpeluang memenangi kerusi Tangkak, Johor Jaya dan Perling memandangkan PN tidak meletakkan calon di kawasan tersebut. Namun, peratusan keluar mengundi tetap menjadi faktor terbesar.
Katanya, Muda dan Parti Bersama Malaysia yang diterajui Rafizi Ramli berpotensi menjejaskan undi DAP dengan memecahkan undi penyokong tradisi PH.
Menurut badan pemikir itu, kedua-dua parti tersebut berada dalam ruang politik yang sama dengan PH, walaupun landskap politik semasa masih lebih memihak kepada parti-parti yang lebih besar.
Tambahnya, jika Bersama berjaya mengekalkan deposit pilihan raya di Johor Jaya, ia mungkin memecahkan undi penyokong reformasi sehingga menyebabkan DAP kehilangan kerusi tersebut, sekali gus menunjukkan potensi gangguan yang boleh dibawa oleh parti-parti kecil.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.