
Sebuah kumpulan masyarakat sivil menyeru parti politik memasukkan urusan mendaftar, menggantung dan membatalkan parti politik daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam manifesto PRU16.
Projek Sama berkata, langkah itu perlu bagi mengelak JPPM digunakan untuk memberi kelebihan atau mengenakan tindakan terhadap parti politik berdasarkan hubungan mereka dengan kerajaan persekutuan.
Namun, kumpulan itu menegaskan SPR terlebih dahulu mesti dijadikan badan berkecuali dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pula perlu diberi kuasa menyaring serta mengesyorkan calon bagi pelantikan ahli suruhanjaya SPR.
“Potensi untuk parti pembangkang dizalimi menerusi kawalan menteri dalam negeri terhadap JPPM berterusan kerana semua parti yang pernah atau sedang berada dalam kerajaan persekutuan mahu mengekalkan kawalan itu untuk digunakan terhadap pihak lawan,” katanya dalam kenyataan.
Pendaftaran PN dibatalkan
Kelmarin, JPPM membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) susulan aduan parti komponennya, Bersatu, bahawa parti itu dinafikan hak menghadiri, bercakap dan mengundi pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Projek Sama berkata, isu tersebut menunjukkan masalah struktur yang lebih luas, iaitu kawalan menteri dalam negeri terhadap JPPM.
Menurut kumpulan itu, kawalan berkenaan menyumbang kepada penguatkuasaan Akta Pertubuhan 1966 secara “tidak konsisten” dan membuka peluang jabatan itu digunakan terhadap parti politik.
Dua masalah utama
Kumpulan itu mengenal pasti dua masalah utama, iaitu kedudukan JPPM di bawah bidang kuasa menteri dalam negeri dan kuasa menteri mengecualikan parti daripada peruntukan Akta Pertubuhan.
Menurut Projek Sama, kawalan menteri mewujudkan potensi diskriminasi politik, manakala kuasa memberikan pengecualian membolehkan layanan istimewa diberikan.
Sebagai contoh, kumpulan itu memetik keputusan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pada 2023 yang mengecualikan Umno daripada peruntukan Akta Pertubuhan. Pengecualian itu diberikan sedangkan keputusan parti berkenaan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden sepatutnya boleh menyebabkan pendaftarannya dibatalkan.
Kritikan terhadap PAS dan Wawasan
Projek Sama berkata, PAS yang kini membangkitkan kebimbangan mengenai JPPM tidak pernah mendesak supaya kuasa tanpa kawalan menteri dalam negeri terhadap pendaftaran parti politik dihapuskan.
Katanya, parti yang pernah berada dalam kerajaan, termasuk PAS dan Wawasan, terus menyokong sistem yang membolehkan kerajaan persekutuan mengawal pendaftaran parti politik. Ahli Wawasan sebelum ini menganggotai Bersatu.
“Merungut mengenai JPPM hanya apabila diri sendiri terkena, tanpa komitmen untuk menangani punca sebenar masalah berkenaan, merupakan tindakan hipokrit,” katanya.
“Kami menyeru semua parti politik, terutamanya parti yang pernah menjadi mangsa, berjanji secara jelas dalam manifesto PRU16 mereka untuk melaksanakan, mendesak atau menyokong reformasi sedemikian.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.