
Isu tahanan rumah Najib Razak yang cuba dijadikan penarik sokongan buat UMNO pada PRU16 kini dilihat beralih menjadi beban tambahan kepada parti itu, dengan imej rasuah semakin kuat terpalit.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, usaha mengangkat naratif berkaitan tahanan rumah bekas Presiden UMNO itu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan parti mendekati pengundi menjelang PRU16.
Reaksi pelbagai daripada masyarakat
Menurutnya, tumpuan terhadap isu itu, termasuk perbincangan mengenai inisiatif bantuan dana bagi menampung denda Najib, menerima reaksi yang pelbagai daripada masyarakat umum dan memerlukan penelitian mendalam dari sudut strategi parti.
“Perkembangan ini memperlihatkan cabaran yang dihadapi oleh UMNO dalam mengimbangi usaha membela kebajikan bekas pemimpin mereka dengan agenda memperkukuh semula imej parti yang berteraskan integriti.
“Bagi memastikan sokongan terus mampan, penyusunan semula strategi komunikasi mungkin diperlukan agar hasrat murni parti dapat difahami dengan lebih jelas oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Klip video pelajar UM tular
Sebelum ini, tular satu klip video yang memaparkan kenyataan seorang pelajar Universiti Malaya (UM) mengenai skandal Tabung Haji dan kutipan derma bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta. Klip itu menarik perhatian ramai.
Pelajar itu meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan seharusnya mengambil pendirian dalam isu berkenaan.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pula sebelum ini membidas Jabatan Penjara yang mengarahkan Najib tidak mendedahkan syarat tahanan rumahnya di bawah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Lim berkata, syarat tahanan rumah Najib bukan rahsia negara dan tidak patut dirahsiakan. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “mengarut”.
UMNO diingatkan biar proses undang-undang berjalan
Mengulas lanjut, Misrinah berkata, UMNO sepatutnya membiarkan keadilan Najib berjalan dengan sendirinya mengikut proses undang-undang sedia ada.
Menurutnya, parti itu tidak seharusnya cuba menangguk di air keruh kerana tindakan sedemikian akhirnya akan melemahkan UMNO sendiri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.