
Gempa bumi kuat magnitud 7 melanda wilayah Tibet di barat daya China kira-kira jam 10.33 malam (1433 GMT) Khamis, mengorbankan 16 orang dan mencederakan 32 yang lain.
Agensi berita Xinhua yang memetik Biro Pengurusan Kecemasan Bandar Nagqu melaporkan, setakat jam 2.25 pagi Jumaat, seramai 11 mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius. Seramai 21 lagi mengalami kecederaan ringan.
Gempa itu merupakan yang paling kuat melanda China sejak Januari 2024. Lebih 300 rumah runtuh akibat gempa tersebut.
Pusat gempa di kawasan tanah tinggi
Pusat gempa terletak di sebuah daerah tanah tinggi yang berpenduduk jarang di Nagqu, utara Tibet, pada kedalaman 10 kilometer (km).
Data Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC) menunjukkan purata ketinggian kawasan dalam lingkungan lima kilometer dari pusat gempa adalah kira-kira 4,864 meter. Menurut CENC, pusat gempa terletak kira-kira 400km dari ibu kota Tibet, Lhasa, dan gegarannya jelas dirasai di kawasan berkenaan.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa berada di kawasan pergunungan kira-kira 190km ke timur-timur laut Nagqu dan 390km ke timur laut Lhasa.
Data CENC turut merekodkan beberapa gegaran susulan yang lebih kecil, berukuran antara magnitud tiga hingga empat, di kawasan sekitar selepas gempa utama itu.
Rumah retak, penduduk lari berlindung
Pihak berkuasa tempatan menemui sekurang-kurangnya dua mangsa cedera di sebuah kampung berhampiran pusat gempa. Beberapa rumah di perkampungan paling hampir dengan pusat gempa pula mengalami keretakan, menurut penyiar kerajaan.
Rakaman video yang disiarkan media tempatan kendalian kerajaan menunjukkan penduduk keluar dari kediaman masing-masing untuk berlindung di kawasan terbuka atau di dalam kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.
Seorang penduduk berkata, beliau terjaga daripada tidur akibat gegaran kuat itu dan terdengar bunyi berkeriut dari rumahnya ketika gempa berlaku.
Timbalan Ketua Pekan Maru, Lhawang Dagpo, berkata gegaran itu jelas dirasai di pejabat pentadbiran pekan berkenaan sehingga menyebabkan keretakan pada dinding bangunan.
Bantuan digerakkan, bekalan terjejas
Media kerajaan melaporkan, pasukan bomba dan penyelamat tempatan sudah digerakkan ke kawasan terjejas.
Xinhua melaporkan, tindak balas kecemasan bencana gempa bumi Tahap II sudah diaktifkan, manakala operasi bantuan bencana sedang giat dilaksanakan. Pegawai pula masih menjalankan penilaian terhadap kerosakan.
Bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi di pusat pentadbiran daerah itu turut mengalami gangguan akibat gempa berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.