
Keputusan Mahkamah Tinggi menggantung notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pembatalan Perikatan Nasional (PN) memberi harapan baharu kepada gabungan itu untuk menghadapi sistem demokrasi negara secara sihat dan adil.
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hamzah Zainudin, berkata perkembangan itu turut membolehkan lambang PN digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
“Keputusan ini akan memberi harapan baru khususnya kepada PN untuk menghadapi sistem demokrasi dalam negara secara sihat dan adil kerana kami percaya, kuasa bukanlah lesen untuk bertindak secara sesuka hati, manakala undang-undang juga bukan alat untuk menekan pihak yang berbeza pandangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tekad PN diperkukuh
Hamzah berkata, keputusan positif yang dicapai itu menguatkan lagi tekad PN untuk memperkukuhkan kekuatan.
“Insya-ALLAH, keputusan positif yang dicapai hari ini menguatkan lagi tekad PN untuk memperkukuhkan kekuatan, bagi menawarkan polisi serta khidmat terbaik kepada rakyat dan menterjemahkannya melalui sokongan rakyat dalam PRN Melaka nanti,” katanya.
Mahkamah benar penangguhan
Hakim Mahkamah Tinggi, Azizan Md Arshad, pada Khamis membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu penyelesaian permohonan semakan kehakimannya. Hakim berkata terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan pemberian relif interim.
Hakim turut memutuskan bahawa keputusan RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu tidak secara automatik menjadikan permohonan penangguhan itu tidak lagi relevan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak memutuskan kesahan keputusan RoS tersebut. Persoalan itu akan ditentukan ketika pendengaran substantif semakan kehakiman kelak.
Setiap kuasa ada batasan undang-undang
Mengulas lanjut, Hamzah berkata keputusan mahkamah itu bertepatan dengan penghakiman Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan dan Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd [1979].
Penghakiman itu menegaskan bahawa setiap kuasa mempunyai batasan undang-undang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.