
Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengesahkan akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) tidak lama lagi.
Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg, berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat GPS yang dihadiri semua presiden parti komponen di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Abang Johari, yang juga Presiden PBB dan Pengerusi GPS, berkata gabungan itu bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan walaupun tarikh rasmi belum ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“GPS sudah bersedia dengan persiapan yang ada hubung kait dengan pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.
Kerusi dan calon masih dirunding
Mengenai pembahagian kerusi antara empat parti komponen GPS, Abang Johari berkata perkara itu akan diperincikan berdasarkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
Menurut beliau, perbincangan lanjut akan dilakukan sebelum gabungan itu memuktamadkan senarai calon.
Ditanya sama ada terdapat menteri yang akan berundur daripada bertanding, Abang Johari mengesahkan perkara itu berlaku, termasuk dalam kalangan pemimpin PBB.
“Memang ada, kalangan PBB pun ada yang undur diri, tetapi tak bolehlah cakap siapa sekarang,” katanya.
Beliau memaklumkan tarikh pengumuman senarai calon GPS akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon. Buat masa ini, GPS hanya menunggu keputusan rasmi SPR berhubung tarikh pilihan raya sebelum menentukan langkah seterusnya.
Kedudukan semasa DUN Sarawak
GPS ditubuhkan pada 2018 selepas parti-parti komponennya keluar daripada Barisan Nasional (BN) susulan Pilihan Raya Umum ke-14.
Gabungan itu terdiri daripada empat parti utama, iaitu PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRN lalu, GPS menang 76 daripada 82 kerusi DUN. Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) melalui DAP memenangi dua kerusi.
Bagaimanapun, komposisi DUN berubah selepas pilihan raya. See Chee How meninggalkan PSB dan menjadi ADUN Bebas. Tiga lagi bekas ADUN PSB, iaitu Wong Soon Koh, Johnical Rayong Ngipa dan Baru Bian, menyertai PDP, komponen GPS.
Susulan itu, GPS kini menguasai 79 kerusi. See Chee How pula memilih menjadi wakil Bebas yang menyokong kerajaan, menjadikan blok kerajaan serta wakil yang selari dengannya menguasai 80 daripada 82 kerusi. DAP memegang dua kerusi lagi, iaitu Padungan dan Pending.
Daripada 79 kerusi GPS, PBB kini memiliki 47 kerusi, SUPP (13), PRS (11) dan PDP (8).
SPR bermesyuarat 6 November
SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRN13 pada 6 November ini untuk menentukan tarikh penting pilihan raya itu.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Ramlan Harun, itu antara lain akan membincangkan tarikh pengeluaran writ, hari penamaan calon dan hari pengundian.
Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus, sebelum ini dipetik berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan PRN Sarawak.
SPR secara rasmi menerima pemakluman daripada Speaker DUN Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nasar, menerusi surat bertarikh 27 Oktober lalu mengenai pembubaran DUN Sarawak Ke-19. Pembubaran itu berkuat kuasa pada 26 Oktober, sebagaimana termaktub di bawah Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Berdasarkan Perkara 21(4) perlembagaan sama, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.