
Ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam kejadian tikam di sebuah sekolah di Bandar Utama menzahirkan penghargaan mendalam kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan ucapan takziah selepas pengebumian anaknya.
Dalam kenyataannya, Wong Lee Ping berkata limpahan kasih dan keprihatinan orang ramai telah membawa sinar dalam detik paling gelap keluarganya.
“Kami amat tersentuh dan rendah hati atas kasih sayang, sokongan dan kehadiran anda sepanjang masa sukar ini. Keprihatinan anda menjadi cahaya di hari-hari paling gelap kami,” katanya.
Wong turut merakam penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Ahli Parlimen, wakil sekolah, guru, pelajar, saudara-mara serta rakan-rakan pelbagai kaum atas doa dan sokongan mereka.
“Sekiranya ada nama yang kami terlepas pandang, ketahuilah bahawa kebaikan anda tetap kami hargai. Setiap tindakan, besar atau kecil, akan sentiasa kami kenang. Sokongan anda memberi kekuatan, kehadiran anda membawa ketenangan, dan doa anda membantu kami bertahan,” katanya lagi.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.