
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan Kementerian Pengangkutan tidak akan berkompromi dengan kegiatan “ulat kereta” yang menjejaskan imej negara, selepas mengesahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menahan kenderaan dan pemandu yang terbabit dalam kes penipuan pelancong di KLIA2.
Kes itu, yang tular di media sosial, melibatkan dua pelancong wanita dari China yang didakwa ditipu dan diugut oleh pasangan suami isteri yang menawarkan perkhidmatan teksi haram. Mereka pada awalnya ditawarkan tambang RM60, namun kemudian dipaksa membayar RM836 dan dikurung dalam kereta.
Menurut media, pada 15 September lalu dua pelancong itu sedang mencari bas ke Kuala Lumpur apabila didatangi seorang lelaki tempatan dan isterinya. Tawaran tambang RM60 dianggap berpatutan dan mereka bersetuju menaiki kereta itu.
Namun, sebaik tiba di hotel, pemandu enggan berhenti sebaliknya memandu ke kawasan sunyi dan menuntut RM836. Apabila pelancong enggan, isterinya mengunci pintu sambil menjerit bahawa mereka mesti ikut peraturan “kereta miliknya”, menyebabkan mangsa terperangkap.
Jeritan mangsa akhirnya didengari kakitangan hotel yang membantu membuka pintu dan menyelamatkan mereka. Insiden bertambah tegang apabila seorang mangsa ditampar tiga kali dan seorang lelaki yang cuba membantu dicekik oleh pemandu. Pasangan itu kemudian melarikan diri.
Anthony Loke berkata, selepas kes ini tular beliau telah mengarahkan JPJ menjalankan operasi penyamaran di KLIA, dan berjaya menahan kenderaan terbabit serta membuka kertas siasatan.
“Kementerian Pengangkutan tidak akan berkompromi dengan ulat-ulat yang merosakkan imej negara,” katanya.
Kes ini mencetuskan kemarahan netizen yang menggesa pelancong supaya mengelak menggunakan pengangkutan haram serta menyeru pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.