
Parti Wawasan Negara (WAWASAN) telah mengumumkan senarai penuh barisan kepimpinan pusatnya, menggabungkan tokoh politik veteran, bekas menteri, ahli Parlimen serta profesional dalam satu jentera parti yang baharu.
Pengasas Gerakan RESET, Hamzah Zainudin, dilantik sebagai Presiden parti itu, manakala jawatan Pengerusi disandang oleh tokoh veteran yang juga bekas menteri, Rais Yatim.
Timbalan Presiden dan Naib Presiden
Jawatan Timbalan Presiden disandang bekas Ketua Bersekutu BERSATU Johor, Tan Lek Khang. Barisan Naib Presiden pula menampilkan gabungan pemimpin veteran dan muda, diketuai bekas Pengerusi BERSATU Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik.
Turut mengisi jawatan Naib Presiden ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon, serta Mohd Omar Mustapha dan Huan Cheng Guan.
Bekas pemimpin BERSATU turut sertai Wawasan
Dua bekas pemimpin BERSATU yang dipecat sebelum ini turut diberi peranan penting. Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, dilantik sebagai Setiausaha Agung, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyandang jawatan Ketua Penerangan.
Jawatan Setiausaha Eksekutif disandang Mohd Badrul Ezan Mohd Yusof, manakala Arifin Tobias dilantik sebagai Bendahari Agung.
Wawasan turut mengumumkan pelantikan 25 Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat, termasuk Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzair Ayob, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Emeritus Ibrahim Shah Abu Shah, serta Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan.
Latar belakang penubuhan Wawasan
Untuk rekod, Hamzah mengumumkan penubuhan WAWASAN sebagai pelantar rasmi bagi Gerakan RESET pada 13 Jun lalu, semasa Konvensyen RESET yang berlangsung di Tanah Merah, Kelantan.
Parti ini didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dengan nombor pendaftaran PPM-004-07-08062009.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.