
Jepun melakar nama mereka dalam sejarah Piala Dunia 2026 apabila menewaskan Tunisia dengan kedudukan 4-0 dalam perlawanan Kumpulan F di Estadio Monterrey, sekali gus menjadi pasukan pertama dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berjaya menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan Piala Dunia.
Kemenangan itu juga menyaksikan Tunisia tersingkir dari kejohanan, manakala Jepun menyertai Belanda di puncak Kumpulan F dengan empat mata.
Kamada buka jaringan dalam minit ke-4
Jepun membuka perlawanan dengan penuh agresif apabila Daichi Kamada menjaringkan gol pada minit ke-4, menjadikannya gol terpantas Jepun dalam sejarah penglibatan mereka di Piala Dunia. Gol itu lahir daripada hantaran masuk rendah Keito Nakamura dari sayap kiri.
Ayase Ueda kemudian menggandakan keunggulan pasukan Samurai Biru apabila meledak dengan sepakan kemas dari jarak 18 ela untuk menjadikan kedudukan 2-0 menjelang rehat.
Ito dan Ueda tutup tirai dengan gaya
Babak kedua menyaksikan Jepun terus mengawal permainan dengan mantap. Junya Ito menambah gol ketiga pada minit ke-69 apabila melepaskan sepakan berguling melepasi penjaga gol Tunisia.
Ueda kemudiannya menyempurnakan aksinya dengan gol keduanya pada minit ke-82, menyundul masuk hantaran dari sayap kanan Sano untuk memeterai kemenangan besar 4-0.
Pencapaian Ueda pada perlawanan ini menyamai rekod Cody Gakpo sebagai pemain yang menjaringkan dua gol dan membuat satu assist dalam satu perlawanan di kejohanan tahun ini.
Tunisia tersisih dengan rekod malang
Bagi Tunisia, kekalahan ini menandakan pengakhiran perjalanan mereka di Piala Dunia 2026. Mereka menjadi pasukan keempat dalam sejarah Piala Dunia yang tewas dua perlawanan berturut-turut dengan perbezaan empat gol atau lebih, menyertai Greece (1994), Korea Selatan (1954) dan Bolivia (1930).
Tunisia juga mencipta rekod yang kurang membanggakan sebagai pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia lelaki yang menukar jurulatih selepas hanya satu perlawanan, apabila Sabri Lamouchi dipecat berikutan kekalahan 5-1 kepada Sweden. Pengganti beliau, Hervé Renard, gagal membawa perubahan yang diharapkan.
Kemenangan ini pula mengukuhkan rekod pasukan Jepun yang kini kekal tidak kalah dalam empat perlawanan berturut-turut di Piala Dunia, rekod terpanjang dalam sejarah bola sepak negara itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.