
PAS dan Bersatu yang dikatakan mungkin bergerak berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat mempunyai pilihan rakan kerjasama yang terhad, sekali gus menyukarkan kedua-dua parti untuk membina kekuatan baharu bagi menyaingi gabungan utama, menurut penganalisis.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, usaha parti-parti berkenaan membentuk jajaran politik baharu susulan krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya mampu mengubah landskap politik di Johor.
Menurutnya, walaupun PAS dan Bersatu sebelum ini dikaitkan dengan usaha menjalin kerjasama bersama parti kecil seperti Berjasa, Pejuang dan Putra, pengaruh parti-parti terbabit masih terhad dan tidak cukup kuat untuk mencabar Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).
“Saya nampak pertandingan sebenar di Johor lebih kepada BN dan PH. PAS dan Bersatu menjadi lemah kerana kesan perpecahan mereka. Walaupun ada parti kecil membantu, ia tidak akan membawa impak besar di Johor,” katanya kepada FMT.
Bersatu gerak dahulu tanpa menunggu PAS
Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, baru-baru ini berkata partinya bergerak dahulu dalam menghadapi PRN Johor 11 Julai depan, susulan kelewatan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam merangka strategi.
Mendakwa tiada mesyuarat gerak kerja dipanggil oleh Samsuri, Faizal berkata Bersatu tidak boleh menunggu ‘isyarat PAS’ dan akan menggerakkan jentera bersama rakan dalam Ikatan Prihati Rakyat (IPR), Muda serta Pejuang.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Mahfodz Mohamed, pada 10 Jun lalu berkata partinya akan membina jajaran politik baharu selepas kerjasama politik dengan Bersatu ditamatkan. Kerjasama pilihan raya itu turut membabitkan Pejuang, Putra, Berjasa dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
PAS juga dilaporkan akan bekerjasama dengan Parti Wawasan Negara yang dijangka menggunakan logo PN, seperti yang diumumkan oleh Presiden PAS, Hadi Awang, pada 13 Jun lalu.
Putra, Berjasa dan Iman turut berada dalam kalangan 11 parti di bawah gabungan longgar IPR yang diketuai Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini menegaskan partinya akan bertanding di bawah logo PN.
Parti kecil IPR tiada tarikan besar kepada pengundi Johor
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, tanpa pengaruh PAS atau Bersatu, parti-parti kecil dalam IPR tidak mempunyai daya tarikan yang besar kepada pengundi, khususnya di Johor.
“IPR ini masih banyak ketidaktentuan. Walaupun boleh memecah undi, saya tidak fikir mereka mampu memberi saingan serius kepada gabungan besar,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.